suria

Dua wanita abadikan makanan dalam potret ‘The Rojak Projek’

Rachel Lee (kanan) dan Faye Lim (kiri).

KUALA LUMPUR: Kepelbagaian juadah dan sajian yang terdapat di Malaysia menjadi sumber inspirasi dua gadis bekerjaya berasal dari Selangor ini dan seorang lagi rakan karib mereka untuk mengabadikan makanan dalam bentuk potret yang dinamakan 'The Rojak Projek'.

Pereka grafik digital Lim Sheng Feiyan, 28, bersama-sama dua rakan karibnya Rachel Lee Ju Wei, 28, seorang arkitek dan Jonathan Cool, 28, merantau berulang alik dari Kuala Lumpur ke seluruh negara dalam misi untuk memotret 550 wajah orang biasa yang mereka temui sepanjang perjalananan hanya menggunakan makanan tempatan di tempat mereka kunjungi.

Dengan menggunakan bahan dalam makanan seperti nasi lemak, roti canai, char kuetiau, laksam dan banyak lagi juadah tempatan, mereka berjaya menghasilkan potret wajah orang yang mereka temui.

Makanan tersebut disusun secara teliti agar dapat membentuk wajah di mana nasi di sebelah sana, ikan bilis di situ, telur di beberapa tempat untuk melengkapkan lakaran dan seterusnya berhasil menyiapkan imej wajah dengan sempurna.

Untuk menghasilkan potret berkenaan mereka akan menggunakan kertas putih bersaiz A3 dengan kertas tersebut akan dilakar dengan pensil terlebih dahulu, sebelum makanan itu disusun satu persatu membentuk potret wajah.

Setelah selesai dipotret, makanan berkenaan tidak dibuang tetapi ia akan dimakan setelah lakaran potret berkenaan diambil gambar.

Lim atau lebih mesra dengan panggilan Faye berkata idea itu tercetus ketika peristiwa kehilangan pesawat MH370 yang pada ketika itu keadaan negara digambarkan dengan berita-berita negatif terutama dalam media sosial.

"Saya mengambil iniasitif pada masa itu dengan melukiskan pandangan saya menggunakan makanan tempatan untuk menggambarkan kepelbagaian makanan di mana ia sekali gus menggambarkan keadaan masyarakat majmuk yang harmoni dalam negara kita.

"Bila kami bermula pada 2014 dan 2015, ia hanya suka-suka sahaja kerana kami semua bekerja. Kami bereksperimen untuk melukis potret-potret tempatan menggunakan makanan di tempat yang kami kunjungi.

“Setiap makanan mempunyai tahap kesukarannya yang tersendiri untuk dilakar terutama makanan berkenaan dalam bentuk cecair dan berminyak," katanya ketika ditemui Bernama di pameran The Rojak Projek pada Youth Festival of Ideas 2018 di sini, pada Sabtu.

Sebanyak 55 hasil lukisan potretnya dalam bentuk gambar turut dipamerkan pada program RIUH x Grab Malaysia Day Weekend bermula Sabtu dan Ahad dari 11 pagi ke 9 malam di Sentul Depot bersempena Hari Malaysia ke-50 Faye berkata projek ini bukan semata-mata untuk menunjukkan kepada masyarakat di luar sana tentang kepelbagaian makanan di Malaysia, tetapi ia lebih menunjukkan kepelbagaian berkenaan hasil daripada masyarakat majmuk yang makmur dalam negara.

"Mesej kami adalah supaya rakyat Malaysia berbangga menjadi warga negara ini terutama dalam era Malaysia baharu dan perbezaan yang kita ada sama ada makanan, budaya, agama yang menjadikan kita ini unik sebagai sebuah negara," katanya. - Bernama

The Rojak Projek

Artikel Berikut

Mungkin saya silap - Najib

Artikel Lain