KANGAR: Sambutan Hari Malaysia tahun ini amat bermakna bagi dua beranak yang berjaya menamatkan ekspedisi berjalan kaki sejauh kira-kira 1,600 kilometer di sini, malam Ahad. Lebih manis apabila usaha R. Ragu, 43, bersama anak lelakinya, R. Surya, 13, menjayakan ‘Ekspedisi Merdeka Sayangi Malaysiaku' itu mendapat sokongan pelbagai kaum. “Ramai rakyat pelbagai kaum menghargai usaha kami sehingga ada yang menjemput makan kenduri dan membayar sewa hotel dan makanan kami berdua,” kata Ragu kepada pemberita selepas menamatkan ekpedisi yang bermula di Danga Bay, Johor, tepat pukul 12 tengah malam Ahad. Ketibaan mereka yang membawa bendera Malaysia dan Perak bagi menunjukkan kecintaan kepada negara, disambut anggota Dewan Undangan Negeri Indera Kayangan, Gan Ay Ling. Ragu berkata perjalanan mereka sepatutnya hanya sejauh 1,400 km tetapi akibat tersasar jalan, ia menjadi lebih jauh iaitu kira-kira 1,600 km namun mereka dapat menamatkannya dalam tempoh ditetapkan. “Kali ini kami tidak mendapat tajaan tetapi orang ramai memberi sedikit sumbangan bagi menjayakan ekspedisi ini yang menelan belanja sebanyak RM21,000,” katanya. Ragu dan anaknya Surya ketika dirakam di Esplanade, Pulau Pinang pada 11 September lalu. Ragu yang bekerja sebagai buruh di Ipoh turut mempelawa golongan muda yang berminat untuk menyertainya melakukan ekspedisi sama mengelilingi Semenanjung tahun depan. “Ada orang gelar saya Hero Merdeka ada juga gelar Merdeka Ragu. Apapun tidak kisahlah asalkan niat kita betul untuk tunjuk kecintaan dan bahawa negara ini masih aman dan harmoni,” kata bapa kepada lima anak itu. Sementara itu, Surya berkata kejayaan menamatkan misi itu tidak dapat dilupakan kerana setelah berjalan hampir 30 km pada hari pertama dari Balai Polis Danga Bay di Johor Bahru, kakinya menjadi keras, menyebabkannya patah semangat. “Bapa saya bagaimanapun sentiasa memberi semangat agar saya meneruskan pengembaraan. Saya gagahkan sehingga dapat mengatasi masalah tersebut,” kata pelajar SMK St Michael, Ipoh itu. Beliau berkata pada hari kelima beliau tidak lagi menghadapi masalah kaki keras dan dapat berjalan purata 50 hingga 60 km sehari kecuali jika cuaca tidak mengizinkan. Surya berkata beliau berhasrat menyertai bapanya dalam ekspedisi berjalan mengelilingi Semenanjung tahun depan jika kesihatan dan keadaan mengizinkan. - Bernama