suria

Duit dalam akaun lesap: "Selepas angkat panggilan tu saya jadi 'blur', baca nombor TAC..."

PETALING JAYA: Seperti dipukau ketika menerima panggilan WhatsApp, seorang wanita mendakwa lesap wang tunai RM2,200 menerusi transaksi pindahan wang dari akaun banknya.

Nornuhdiahuda Izwa Rahim memberitahu mStar Online ketika menerima panggilan tersebut, dia sedang sibuk menyiapkan kerjanya di pejabat.

"Kejadian berlaku pukul 9.30 pagi minggu lalu (Jumaat) dan apabila telefon berbunyi saya terus menjawabnya memandangkan ia panggilan menerusi WhatsApp.

"Pada fikiran saya ketika itu, mungkin ada kecemasan kerja sebagainya. Sebaik sahaja angkat panggilan tu, saya jadi 'blur'.

"Pemanggil seorang lelaki dan bertanya sama ada saya ada terima TAC (Kod Pengesahan Transaksi) atau tidak.

"Dia berulang kali menyebut namanya Abdul Razad, Abdul Razad dan tersalah hantar mesej. Sebelum itu dia ada menyebut nama penuh saya.

"Secara tidak sengaja saya membaca TAC diterima menerusi notifikasi di telefon.

"Selepas itu baharulah saya tersedar dan bertanya siapa dia. Dia beritahu isterinya tersalah nombor telefon.

"Dan saat itulah saya sedar akaun bank saya digodam dan telah berlaku transaksi pindahan wang," jelasnya.


Menurut Nornuhdiahuda, 27, dia seperti terpukau dan sudah 'dikawal' oleh lelaki itu dan menurut sahaja permintaannya.

"Dia menggunakan psikologi dan tidak memberi peluang saya bercakap banyak. Selepas selesai, talian diputuskan dan saya cuba menefonnya balik tetapi gagal.

"Sebelum ini memang saya ada terbaca kes penipuan pemindahan wang atau panggilan menyamar daripada pihak bank.

"Tetapi ini adalah muslihat terbaharu. Saya cuba periksa transaksi wang itu dipindahkan dan nama akaun itu seperti orang Sabah.

"Polis yakin pemilik akaun itu hanya orang tengah sahaja dan ada orang lain yang menjalankan taktik tipu itu.

"Dengar suara pemanggil itu, saya yakin dia orang asing yang belum fasih bercakap bahasa Melayu," ujarnya yang terus membuat laporan polis selepas kejadian.

Jelas Nornuhdiahuda, dia berkongsi pengalamannya itu di laman Twitter sebagai peringatan dan ramai yang memberi sokongan. Bagaimanapun, ada juga yang menggelarnya sebagai 'bodoh'.

"Orang boleh cakap apa sahaja kerana tidak berada dalam situasi tak sedar itu.

"Saya berkongsi supaya orang lain lebih berhati-hati dengan penipu yang menggunakan pelbagai taktik.

"Nilai wang hilang itu banyak bagi saya, namun apa yang penting ia tidak berlaku lagi kepada orang lain," katanya.

Tipu TAC, pukau

Artikel Lain