KUALA TERENGGANU: Seorang wanita yang masih berstatus isteri dikenakan hukuman denda RM2,600 oleh Mahkamah Syariah Kuala Terengganu pada Isnin kerana kesalahan berkhalwat dengan rakan sekerjanya, Januari lalu. Wanita berusia 34 tahun dari Manir, di sini, turut berdepan hukuman penjara sebulan sekiranya gagal menjelaskan denda dikenakan, manakala pasangannya, 24, dan masih bujang gagal hadir ke mahkamah tanpa sebarang alasan sebelum perintah waran tangkap dikeluarkan terhadapnya. Keputusan dibuat selepas dia yang bekerja di Jabatan Pendaftar di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di sini mengaku salah di bawah Seksyen 31 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana berkhalwat. Berdasarkan fakta kes, rahsia skandal pasangan kekasih di tempat kerja selama ini terbongkar selepas rumah di Flat Gelong Bilal, Pasir Panjang, di sini diserbu, lebih kurang pukul 3.20 petang, pada 20 Januari lalu. Semasa tiba, didapati pintu utama rumah tertutup rapat dan berkunci sebelum anggota Penguatkuasa Syariah Kuala Terengganu mengetuknya sambil memberi salam serta memperkenalkan diri. Lebih kurang 10 minit kemudian, pintu dibuka oleh seorang lelaki sebelum pemeriksaan mendapati rumah ketika itu dalam keadaan gelap. Pemeriksaan seterusnya menjumpai ada seorang perempuan di ruang tamu sebelum siasatan selanjutnya mendapati hanya mereka berada di dalam rumah dan tiada hubungan suami isteri atau mahram. Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie, Khanurulhajja Mustafar. - Sinar Harian.