suria

Jho Low tulis surat jelaskan dirinya tak bersalah

PETALING JAYA: Ahli perniagaan Low Taek Jho mendakwa dirinya tidak bersalah terhadap tuduhan berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) menerusi satu surat yang ditandatanganinya.

Dia yang lebih dikenali sebagai Jho Low pada masa sama turut mengakui dia mungkin membuat sesuatu perkara dengan cara yang berbeza.

"Namun, apa-apa kesalahan yang saya lakukan tidaklah seteruk dakwaan yang dibuat ke atas saya.

"Biar saya jelaskan: Saya tidak bersalah," tulis Jho Low menerusi surat berkenaan yang dimuat naik ke laman web peribadinya.

Laman web www.jho-low.com turut memuat naik beberapa dokumen perundangan berkaitan 1MDB, artikel media mengenainya serta kenyataan daripada peguamnya.

Menerusi satu notis, ia menyatakan laman web itu ditubuhkan oleh Jho Low menerusi peguamnya sebagai medium untuk memberi maklumat kepada orang ramai.

Semakan di internet mendapati laman web itu telah dikemas kini sejak 2015 namun maklumat-maklumat berkaitan baru sahaja dimuat naik kepada umum oleh pengendalinya.

Menurut pangkalan data WHOIS, laman web itu telah dibuat pada 2 Jun 2014.

Pada Isnin, pautan ke laman web itu ditularkan di media sosial selepas surat berkenaan dimuat naik.

"Saya hanya mahu semua orang termasuk mahkamah, pendakwa dan orang awam supaya berfikiran terbuka sehingga semua bukti diberikan," tulisnya.

Menurut Jho Low, dia telah dituduh dengan dakwaan mengenai 1MDB sejak beberapa tahun lalu.

Malah, kebanyakan tuduhan itu dikatakan berpunca daripada penulisan blog, kebocoran maklumat secara tidak wajar dari agensi-agensi kerajaan seluruh dunia serta dakwaan yang tidak dibuktikan di mahkamah yang mana dia tidak pernah diberi peluang untuk membuktikan dirinya.

"Jelas bahawa tidak ada platform yang mana maklumat objektif boleh dibentangkan mengenai isu ini dan tidak ada bidang kuasa yang tidak diracuni oleh gosip, sindiran, dan dakwaan yang tidak terbukti.

"Laman web ini adalah satu usaha untuk mengubahnya," tulisnya lagi.

Jho Low, 36, yang dilahirkan di Pulau Pinang digambarkan sebagai 'dermawan global, pelabur dan usahawan' di laman web tersebut.

Sementara itu, Xavier Justo berkata laman web tersebut tidak memperlihatkan apa-apa bukti yang Jho Low tidak bersalah.

"Ia hanya mengandungi dokumen undang-undang yang menunjukkan bahawa dia mahu beberapa kes ditolak.

Bekas eksekutif PetroSaudi International itu berkata, beliau terkejut dengan percubaan Jho Low untuk mempertahankan dirinya melalui laman web itu.

"Orang yang waras akan menghadapi keadilan di mahkamah jika dia boleh membuktikan bahawa dia tidak bersalah," katanya.

Tambahnya lagi, dia kagum dengan percubaan Jho Low untuk menghentikan pengedaran buku, menyalahgunakan sistem keadilan dan mengupah pegawai perhubungan awam untuk mempertahankan reputasinya sambil membuat laman web untuk menceritakan "kisah dongeng".

Kedudukan Jho Low pada masa ini tidak dapat dipastikan namun terdapat spekulasi yang mengatakan dia bersembunyi di China atau Caribbean.

Jho Low dan bapanya, Tan Sri Low Hock Peng, dikatakan menghilangkan diri dari Malaysia bulan lalu.

Pada minggu lalu, Jho Low melalui firma undang-undang Schillings yang berpangkalan di London, cuba mengharamkan penjualan buku The Sarawak Report oleh Clare Rewcastle Brown dan Billion Dollar Whale oleh The Wall Street Journal yang dihasilkan oleh Tom Wright dan Bradley Hope.

Jho Low, 1MDB

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain