suria

Apa yang menarik dengan tiga model baharu iPhone?

Tiga model baharu iPhone XS, XS Max dan XR yang diperkenalkan baru-baru ini. -foto PCMag.Com

BAGI pengguna Apple, mereka pastinya teruja menanti tiga model terbaharu telefon pintar itu yang terdiri daripada iPhone XS, iPhone XS Max dan iPhone XR.

Diperkenalkan kepada dunia pada Rabu lalu menerusi Apple Event 2018, ia ternyata mengikut jejak siri X yang pertama, iPhone X yang tidak mempuyai home button seperti model-model terdahulu.

Sebagai pengganti, ia menggunakan sistem pengecaman wajah yang dikenali sebagai Face ID.

Selain harga yang membuatkan anda berfikir beberapa kali untuk membelinya, agaknya apa lagi yang menarik mengenai tiga model baharu ini?

Sudah tentu kebolehan kamera menjadi aspek utama yang menjadi bualan ramai.

Menerusi model ini, Apple memperkenalkan pengesan imej (image sensor) bagi meningkatkan kualiti foto.

Fungsi kamera menjadi aspek utama yang dilihat oleh pengguna menerusi model baharu Apple. FOTO: DPA

Malah, cip yang lebih berkuasa dipasang supaya peranti itu berupaya menganalisis kondisi cahaya dengan lebih tepat.

Bukan itu sahaja, fungsi bokeh atau blurred mode juga dikatakan lebih tajam dan tepat menerusi tiga model ini.

Model XS dan XS Max dihasilkan dengan paparan skrin OLED manakala XR pula dihadirkan dengan skrin yang lebih murah iaitu LCD.

Ia turut ditawarkan dengan pilihan warna seperti merah, kuning dan biru.

Selain itu, model XS dan XS Max turut menyokong fungsi dual-simcard membolehkan pengguna Apple buat pertama kali menggunakan dua nombor telefon dalam satu peranti sahaja.

Namun, inovasi itu ternyata mengundang ketawa sebilangan individu kerana fungsi dual-simcard sudah lama diperkenalkan menerusi telefon Android.

Ketiga-tiga model dijangka menjengah pasaran dalam bulan ini (September).

Model XS dan XS Max dijangka akan mula dijual bermula 21 September makanala XR pula bakal menjengah pasaran sekitar 26 September ini.

Dari aspek RAM pula, XS dan XS Max menawaran 4GB RAM manakala XR ditawarkan hanya 3GB RAM sahaja.

XS dan XS Max masing-masing boleh dibeli dengan pilihan storan 64, 256 atau 512GB.

Model XR pila menawarkan pilihan storan 64, 128 dan 256GB.

Aspek paling penting selain fungsi dan rekaan pastinya harga bagi tiga model itu.

iPhone XS Max dijangka dijual pada harga bermula RM4,533, iPhone XS (bermula RM4,139) dan iPhone XR (bermula RM3,103.)

Seperto iPhone X, tiga model ini turut menggunakan sistem pengecaman wajah Face ID, menggantikan home button.

Selain pengenalan tiga model itu, pengguna Apple juga pastinya sedang berada dalam fasa peralihan apabila sistem operasi iOS 12 baru sahaja diperkenalkan.

Pembantu digital Siri, sistem notifikasi berkumpulan, kamera augmented reality (AR) merupakan antara penambahbaikan dalam sistem operasi itu.

Menerusi iOS 12, notifikasi yang bertalu-talu tidak lagi menjadi masalah kerana ia bakal dikelaskan dalam kumpulan sekali gus menjadikan peranti anda lebih sistematik.

Peminat setia jenama itu juga baru sahaja dikejutkan dengan berita bahawa iPhone X sudah dihentikan pengeluarannya oleh Apple.

Namun, stok yang masih belum terjual akan terus tersedia di mana-mana gedung Apple di seluruh dunia.

Dijangka harga untuk model-model terdahulu iPhone juga akan mengalami penurunan seiring dengan pengenalan tiga model baharu ini.

Apa kata anda? Yang mana menjadi pujaan hati? Tepuk dada tanya selera.

Artikel Sebelum

Artikel Lain