KUALA LUMPUR: Tan Sri Annuar Musa mendakwa bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed antara beberapa pemimpin Umno Kelantan yang dipercayai disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM). Menurut Ketua Penerangan Umno itu, mereka disoal siasat mengenai beberapa dana yang diterima dari pihak tertentu. "Pemimpin Umno Kelantan termasuk Tok Pa (Mustapa) disoal dan disiasat selama beberapa hari berhubung dana yang diterima dari pihak tertentu. "Tok Pa menerima sejumlah besar dana dan disoal siasat PDRM," katanya pada sidang media di ibu pejabat Umno dekat sini, Khamis. Annuar diminta mengesahkan khabar angin bahawa Ahli Parlimen Jeli itu meninggalkan Umno selepas disiasat pihak berkuasa. "Itu (siasatan), saya boleh sahkan. "Terdapat ramai individu lain yang turut disoal siasat, tetapi mereka tidak pernah meninggalkan parti," katanya.