suria

Bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang meninggal dunia

BUKIT MERTAJAM: Bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Seri Abdul Rashid Abdullah meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada paru-paru di Hospital Seberang Jaya, di sini, Khamis.

Allahyarham yang juga bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Bakap dirawat di hospital itu sejak tiga hari lepas sebelum meninggal dunia pada usia 70 tahun kira-kira pukul 12 tengah hari ini.

Beliau yang menjadi Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang pada tahun 2004 hingga 2008 meninggalkan isteri Datin Seri Rabaayah Md Naim dan tiga orang anak.

Jenazah Abdul Rashid dibawa pulang ke rumah keluarganya di Taman Tambun Indah, Simpat Ampat dekat sini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Bakap selepas solat Asar.

Ketua Pemuda Umno Nibong Tebal, Mohd Noorhiesham Ismail berkata beliau hanya mengetahui arwah dimasukkan ke hospital pagi ini dan bergegas untuk menziarahi bekas majikannya itu namun dikejutkan dengan berita kematian Abdul Rashid.

“Saya dimaklumkan arwah jatuh pengsan di rumahnya dan terus dimasukkan ke hospital untuk rawatan sebelum beliau disahkan meninggal dunia sebentar tadi,” katanya ketika di temui di HSJ di sini, Khamis.

Mengulas lanjut mengenai pengalaman  bersama arwah, beliau yang pernah bertugas sebagai pembantu khas kepada Allahyarham pada tahun 2005 hingga 2008 begitu kagum dengan sifat dimiliki Abdul Rashid.

Katanya sikap arwah yang tegas, berdisplin dan tidak suka bertangguh ketika melakukan setiap pekerjaan menjadi peransang kepada kerjaya dirinya suatu ketika dahulu hingga mengenali bidang politik.

“Saya ingat lagi sepanjang bekerja dengan beliau begitu banyak ilmu  diperoleh dan beliaulah pemimpin terawal yang mengajar saya ketika mula-mula menyertai politik sehingga menjawat jawatan Ketua Pemuda Umno hingga ke hari ini.

“Bagi saya, kehilangannya begitu perit kerana saya menganggapnya bukan hanya sebagai majikan tetapi seorang ayah yang banyak membantu dan berjasa kepada masyarakat," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata allahyarham seorang yang sangat komited dan banyak membantu Umno Pulau Pinang sepanjang beliau bersama parti itu.

"Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang sedih dengan kehilangan beliau dan kami mengucapkan takziah kepada balu serta seluruh anggota keluarga allahyarham," katanya.

Antara jawatan yang pernah disandang Abdul Rashid dalam kerajaan pada sekitar tahun 1970-an ialah Penolong Setiausaha, Kementerian Penerangan Malaysia, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar serta Timbalan Ketua Pengarah Unit Penyelidikan Sosioekonomi Jabatan Perdana Menteri dari 1988 dan 1989 Beliau kemudian menceburi politik sepenuh masa pada 1993 dan menjadi Adun  Sungai Bakap selepas menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) pada tahun 2004 serta dilantik Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang. -- Bernama 

Rashid Abdullah, Pulau Pinang

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain