suria

Dua rakan didakwa bunuh kucing

KUALA LUMPUR: Dua rakan serumah didakwa pada Khamis atas tuduhan dengan kejamnya menyebabkan penderitaan terhadap seekor kucing yang dimasukkan ke dalam mesin pengering pakaian yang membawa kepada kematian haiwan itu di sebuah kedai dobi layan diri.

Pemandu teksi A. Mohanraj, 41, dan juruteknik elektrik S.S. Satthiya, 26, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan secara bersama di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua lelaki itu didakwa bersama-sama dengan seorang lagi yang masih bebas telah dengan kejamnya menyebabkan penderitaan yang tidak sepatutnya terhadap seekor kucing di premis dobi di Taman Gombak Ria, Batu Caves di sini antara 12.54 tengah malam dan 1 pagi, pada 11 September lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 29 (1) (e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 29 (1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan mengikut akta tersebut adalah yang pertama dijalankan di negara ini sejak ia berkuat kuasa pada Julai 2017.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Mahamad Amin menawarkan wang jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan memohon syarat tambahan supaya kedua-dua tertuduh melapor diri di balai polis.

Ketika rayuan mengurangkan jaminan, Mohanraj yang tidak diwakili peguam berkata dia perlu menyara ibu bapanya manakala Satthiya, yang juga tidak diwakili peguam, memberitahu dia baharu sahaja mula bekerja sebagai juruteknik.

Rasyihah membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM18,000 dengan seorang penjamin warga Malaysia dan menetapkan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis pada setiap bulan sehingga kes selesai.

Tarikh 16 Oktober ditetapkan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Pendakwaan turut dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Selangor Mohd Roslan Isa dan turut hadir mengikuti prosiding adalah Pengarah Penguatkuasa JPV Malaysia Zaharinan Abd Aziz.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh dibawa ke Kompleks Mahkamah Selayang pada 9.11 pagi dan mereka yang memakai pakaian sama seperti ketika ditangkap dan ditahan reman, kelihatan bersahaja biarpun dikerumuni jurugambar dan wartawan.

Sebelum ini, tular satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan tindakan kejam dua individu yang membunuh kucing yang dipercayai bunting dengan cara memasukkannya ke dalam mesin mengering pakaian di sebuah kedai dobi layan.

Bangkai kucing itu ditemui seorang pelanggan ketika ingin menggunakan mesin pengering berkenaan.

Perbuatan tidak berperikemanusiaan tersebut kemudian tersebar di media sosial dan menerima kecaman masyarakat sebelum Persatuan Haiwan Malaysia bertindak membuat laporan polis dan kedua-dua individu itu ditahan pada Jumaat lalu. - BERNAMA

bunuh, kucing

Artikel Sebelum

Suami 'ragut' beg tangan isteri

Artikel Berikut

Artikel Lain