suria

"Tiada bukti ganja mampu rawat penyakit"

PUTRAJAYA:"Tiada bukti dalam bidang perubatan untuk mengatakan penggunaan minyak ganja dapat merawat penyakit," kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Sehubungan itu katanya penggunaan minyak ganja di Malaysia dihadkan kepada mereka yang berkelayakan untuk tujuan penyelidikan dan tertakluk kepada kelulusan menteri kesihatan.

"Sekiranya anda ingin menggunakannya untuk sebab-sebab terapeutik, kita mesti membuktikannya dengan data yang perlu datang daripada penyelidikan. Pada tahap ini, kita boleh teruskan kerja penyelidikan.

"Tetapi untuk aplikasi terapeutik, tiada doktor saya menggunakannya untuk rawatan. Ia bukan dalam rawatan arus perdana menggunakan ganja.

"Semua (peraturan) sudah ada, jadi kita hanya akan ikuti apa yang boleh dilakukan dan apa yang tidak dapat dilakukan. Kecuali kita mahu mengkaji semula dan meminda Akta Dadah Berbahaya 1952, itu cerita lain.

"Sekiranya ia dapat dibuktikan dapat merawat penyakit tertentu dan ia disokong data dengan seluruh dunia menyokongnya, maka kita perlu (mengkaji semula isu ini)," katanya pada sidang akhbar.

Terdahulu dalam sidang akhbar itu Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata kabinet telah membincangkan mengenai hukuman mati terhadap Muhammad Lukman Mohamad kerana memiliki minyak ganja dan bahan berkaitan, serta isu penggunaan ganja.

Beliau berkata, tiada keputusan dicapai tetapi Kabinet mungkin mengkaji semula isu hukuman mati Lukman pada masa akan datang.

Bagi penggunaan ganja, beliau berkata pendirian kementerian adalah untuk mengehadkannya bagi tujuan penyelidikan sahaja.

Lukman, 29, ditahan pada Disember 2015 kerana memiliki 3.1 liter minyak ganja, 279 gram ganja mampat dan 1.4 kilogram bahan yang mengandungi tetrahydrocannabinol (THC atau bahan aktif dalam ganja).

Peguamnya Farhan Maaruf dilaporkan berkata Lukman tidak berniat untuk mengedar dadah, tetapi hanya mahu membantu pesakit yang dapat dirawat dengan THC.

Lukman dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 30 Ogos di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Undang-undang itu menetapkan individu yang ditangkap memiliki 200 gram atau lebih boleh dituduh melakukan pengedaran dadah yang membawa hukuman mati mandatori.

Kes itu mencetuskan gesaan agar Lukman dibebaskan dan ganja dibenarkan untuk kegunaan terapi, termasuk daripada anggota Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga berkata, hukuman mati itu harus dikaji semula.-SinarHarian

 

 
ganja, Noor Hisham

Artikel Berikut

Artikel Lain