PETALING JAYA: Kata orang tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Siapa sangka seorang anak Malaysia kelahiran Kota Bharu, Kelantan pernah ditawarkan berlakon untuk produksi filem Hollywood kira-kira 10 tahun lalu. Azri Amin Che Din yang ketika itu berusia 23 tahun sedang dalam perjalanan pulang dari universiti sewaktu dihampiri oleh pihak produksi tersebut. Azri Amin menerima bayaran sebanyak 4,000 dirham daripada pihak produksi. "Masa tu, saya tengah jalan kaki balik dari universiti dan tiba-tiba ada seorang lelaki tanya sama ada saya pelajar dari Malaysia. "Dia kenalkan diri sebagai wakil produksi filem Prince of Persia dan sedang mencari orang yang berwajah Asia," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis. Azri Amin, 33, yang kini bertugas sebagai seorang guru, pihak tersebut memintanya untuk mencari rakan-rakan lain yang berminat untuk menyertai penggambaran itu untuk menghantar gambar serta nama melalui emel. Menurut Azri Amin, antara 20 pelajar yang menghantar penyertaan tersebut, hanya tiga yang terpilih untuk memegang watak seorang raja dan tentera Mongolia. Azri Amin (kiri) dan dua lagi rakannya yang memegang watak Raja Mongolia (kanan) dan Maharaja Cina (tengah). "Tak sangka saya pun terpilih, kawan saya pegang watak raja, manakala saya dan seorang lagi rakan jadi tentera Mongolia. "Saya tak pasti kenapa kami terpilih, mungkin raut wajah kami paling mirip dengan watak tersebut," jelasnya. Selain mereka bertiga, terdapat pelajar dari Indonesia dan Vietnam yang turut ditawarkan berlakon watak sampingan dalam filem tersebut. Bagi Azri Amin yang juga seorang mutawwif, pengalaman sekali seumur hidup itu masih segar dalam ingatannya walaupun sudah sedekad berlalu. Barisan pelakon tambahan dari Asia. Menceritakan tentang pengalaman terlibat dalam penggambaran tersebut, Azri Amin berpeluang mengembara sejauh 500 kilometer (km) dari Casablanca ke bandar perfileman popular Ourzazat di selatan Maghribi. Pengalaman yang tidak boleh dilupakannya adalah apabila mereka diminta bersiap seawal pukul 4 pagi untuk memakai kostum dan mengenakan solekan. "Itu tak jadi masalah sangat, tapi bayangkan bila saya dan kawan-kawan mendirikan solat subuh dengan kostum. "Kami ambil wuduk siap-siap dan curi-curi solat bila masuk waktu sekitar pukul 5 pagi. "Tak susah nak solat, cuma tak selesa sedikit memandangkan kostum itu agak besar," ujarnya. Menurut Azri Amin, dia dibayar sebanyak 4,000 dirham (RM1,600) untuk babak yang dilakonkan selama lima ke 10 minit itu. Semasa penggambaran dijalankan pada 2008, Azri Amin baru menamatkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda Pengajian Islam di Université Ibn Tofaïl di Kenitra, Maghribi. Azri Amin mengimbau tentang pengalamannya di Facebook pada awal bulan ini selepas menonton siaran stesen TV tempatan yang menayangkan filem tersebut.