suria

"Selepas jumpa saya, mereka jumpa PAS pula...kami bebas"

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui terdapat pemimpin Umno yang bertemu dengan beliau baru-baru ini.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu bagaimanapun berkata sesiapa sahaja boleh bertemu dengannya dan pemimpin Umno juga bebas bertemu sesiapa saja.

"Mereka datang berjumpa saya, saya berjumpa semua orang. Selepas berjumpa dengan saya, mereka berjumpa PAS pula.

"Kami bebas...bukan seperti sebelum ini. Dulu, jika kamu berjumpa orang yang salah, pegawai cukai pendapatan (Lembaga Hasil Dalam Negeri) akan cari kamu," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) Siri 4 2018 di Perdana Putra, di sini, Jumaat.

Dr Mahathir berkata demikian ketika ditanya sama ada terdapat perbincangan untuk menarik pemimpin Umno terutamanya anggota Parlimen untuk menyertai Bersatu.

Ditanya sama ada bekas Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyatakan hasrat menyertai Bersatu dalam pertemuan mereka baru-baru ini, Dr Mahathir berkata perkara itu tidak dibincangkan.

"Beliau datang untuk berjumpa, tiada apa-apa tentang menyertai Bersatu. Beliau ada perancangannya sendiri, lebih baik kamu tanya beliau," katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir menafikan dakwaan bahawa beliau menggunakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat pemimpin serta anggota Umno.

Beliau berkata siasatan dijalankan berdasarkan maklumat yang diterima pihak berkuasa terbabit.

"Jika anggota Umno tidak melakukan kesalahan jenayah, mereka tidak akan disiasat. Polis tahu semua mengenainya. Mereka menyiasat ramai orang yang hidup melampaui kemampuan, yang mana masyarakat telah membuat tuduhan terhadap orang sebegini," katanya.

Ditanya mengenai tindakan sesetengah pihak yang menyifatkan 25 pertuduhan terhadap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai melampau, Dr Mahathir berkata keputusan untuk menjalankan pendakwaan terletak di bawah bidang kuasa pihak berkuasa.

"Saya tidak berminat. Tapi kami tahu beliau melakukan banyak perkara yang salah. Sekarang ada 25 pertuduhan dan saya diberitahu ada banyak lagi," katanya.

Najib, 65, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam atas empat pertuduhan rasuah berjumlah RM2.282 bilion melibatkan dana 1MDB yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah wang yang sama.

Najib sebelum ini turut didakwa dengan tujuh pertuduhan jenayah pada Julai dan Ogos lepas. -Bernama

pemimpin Umno, Tun M

Artikel Lain