SEREMBAN:Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan telah merampas hampir 1,142 jenis ubat-ubatan dan kosmetik yang tidak berdaftar dan tidak bernotifikasi bernilai hampir RM920,000 dalam serbuan yang telah dijalankan di seluruh negeri ini dari Januari hingga Ogos. Menteri Besar negeri Sembilan Aminuddin Harun berkata rampasan itu adalah dalam 102 operasi yang telah dijalankan di premis kedai runcit, ubat, gimnasium, kedai haiwan, syarikat jualan dalam talian, setor dan gudang termasuk pengilang vape. “Sesetengah ubat-ubatan dan kosmetik yang dirampas dikesan dicampur dengan racun yang disenaraikan dibawah Akta Anti Racun 1952 antaranya streroid, sibutamine, sildenafil dan tadalafil. “Kebanyakan hasil rampasan juga merupakan produk peransang seks atau ubat kuat bagi lelaki manakala bagi wanita ubat pelansing,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Farmasi Sedunia dan Kempen Kenali Ubat Anda Peringkat Negeri Sembilan di sini, Sabtu. Mengulas lanjut, dalam tempoh yang sama, seramai 30 individu dan syarikat telah didakwa serta disabitkan kesalahan di mahkamah yang melibatkan denda sebanyak RM99,700. Tambah membimbangkan, Aminuddin berkata sejak kebelakangan ini nilai rampasan ubat tidak berdaftar dan kosmetik yang tidak bernotifikasi di negeri ini telah meningkat secara mendadak daripada RM343,757 pada 2016 kepada RM1.8 juta pada tahun lepas. Selain itu, katanya data dari Bahagian Regulatori Farmasi Negara menunjukkan bahawa bilangan pesakit yang mendapat kesan advers seperti Acute Kidney Injury dan Steven-Johnson Syndrome akibat penggunaan ubat tidak berdaftar adalah meningkat iaitu enam kes pada 2016, 9 kes pada 2017 dan tahun ini tiga kes. “Justeru, Cawangan Penguatkuasa Farmasi sentiasa komited menjalankan pemeriksaan rutin terhadap premis-premis seperti farmasi, klinik, industri berlesen racun, kedai ubat tradisional dan salun kecantikan bagi mencegah kesalahan ini. “Semua peniaga dan pengusaha ubat-ubatan dan kosmetik diberi amaran agar tidak menjuual ubat-ubatan yang tidak berdaftar dan kosmetik yang tidak bernotifikasi,” katanya.- Bernama