suria

"Saya terus gosok belakang, buang kotor di kaki dan badannya" - Remaja 'boring' mandikan gelandangan

PETALING JAYA: Tindakan memandikan gelandangan di belakang sebuah restoran makanan segera bukan untuk mencari populariti, kata Muhammad Muaz Azim Jalil.

Remaja lepasan SPM yang lebih mesra disapa Muaz ini memberitahu mStar Online, seorang lelaki yang sudah berumur hidup sebagai gelandangan dan sudah lama berada di kawasan bangunan kedai tempat dia bekerja di Taman Tasik Permaisuri, Cheras.

Malah katanya, pakcik itu memang sudah dikenali oleh mereka yang bekerja atau sering berkunjung ke situ.

"Semalam (Isnin) ketika waktu rehat tak tahu nak buat apa, saya panggil pakcik tu dan beri makanan. Dalam masa sama saya dapat lihat badannya yang kotor.

"Saya tanya terus pakcik tu sama ada nak mandi ke tak? Dia terus jawab 'tak nak'. Tetapi selepas pujuk dan pujuk, saya terus bawanya ke belakang restoran.

"Beberapa kawan lain juga turut membantu membuka pakaiannya.

"Saya terus mandikan dia, gosok belakang, buang kotoran di kaki dan seluruh badannya," kata anak keenam daripada tujuh orang adik-beradik ini.


Muaz, 18, berkata sudah setahun lebih dia bekerja di restoran makanan segera itu dan melihat lelaki berkenaan tidur, makan dan berehat di kawasan itu telah menjadi satu pemandangan biasa.

"Saya kesian tengok dia. Walaupun tidak kenal, tetapi selalu saya tolong beri makanan dan minuman. Ada juga orang lain yang beri makanan kepadanya.

"Selepas siap mandi semua, saya hubungi ayah di rumah, minta baju, seluar dan selipar untuk diberikan kepada pakcik ini," katanya.

Muaz berkata, ketika bertemu dengannya hari ini, lelaki itu kelihatan masih dalam keadaan bersih.

"Cuma baju dia simpan dalam poket sebab panas katanya. Dia juga beritahu selipar yang saya berikan semalam sudah kena curi," jelas Muaz.

Sementara itu, Muaz memberitahu dia tidak sedar bahawa rakaman sedang dibuat ketika dia sedang memandikan pakcik berkenaan.


"Pengurus saya yang rakam. Selepas selesai mandikan pakcik tu, dia tunjuk pada saya.

"Manakala yang memuat naik di laman Twitter adalah rakan sekerja saya. Tidak sangka ramai yang menontonnya.

"Kakak saya juga beritahu bahawa ayah dan mak gembira dengan apa yang saya buat ini.

"Sebenarnya apa saya buat ini bukanlah besar. Ia lebih kepada perasaan kasihan dan tanggungjawab kepada insan yang lemah.

"Saya juga masih ada ibu bapa dan tidak mahu mereka hidup seperti ini.

"Lagipun bukan susah nak tolong orang yang berada dalam kesusahan. Pelbagai cara boleh buat.

"Saya dan kawan-kawan saya hanya membantu apa yang mampu dan kalau nak bagi wang ringgit, memang tak ada.

"Yang penting kena ikhlas," tambahnya yang turut berpesan kepada remaja lain supaya tidak mengabaikan gelandangan seperti ini.

Mandikan, gelandangan

Artikel Lain