suria

Wan Azizah lakar sejarah wanita pertama pengerusikan mesyuarat kabinet

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sekali lagi melakar sejarah apabila menjadi wanita pertama mempengerusikan mesyuarat kabinet di Bagunan Perdana Putra, Rabu.

Dr Wan Azizah, menggantikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang kini berada di New York untuk lawatan kerja dan menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Ke-73.

Mesyuarat kabinet, kebiasaanya diadakan pada setiap Rabu kecuali sekiranya berlangsung persidangan Dewan Rakyat, berlangsung selama dua jam bermula jam 9.30 pagi.

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkongsi detik bersejarah itu dalam satu entri dimuat naik di akaun Twitter rasminya, @drwanazizah mencatat  “Sejarah tercipta, pertama kali dalam sejarah Malaysia wanita mempengerusikan mesyuarat kabinet' dengan hastag #WomenPower.

Beliau juga memuat naik sekeping gambar bersama Jemaah Menteri yang hadir pada mesyuarat kabinet termasuk Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Harun dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar.

Dr Wan Azizah mencipta sejarah apabila dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas Pakatan Harapan mencatatkan kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu.

Selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet, Dr Wan Azizah mewakili kerajaan Malaysia berangkat ke Vietnam untuk memberi penghormatan terakhir kepada Presiden Vietnam Tran Dai Quang.

Upacara pengebumian berkenaan akan berlangsungpada jam 3.30 petang esok di tanah perkuburan Kim Son di wilayah Ninh Bin, tempat kelahiran Presiden Quang.- Bernama

Dr Wan Azizah

Artikel Lain