suria

SPRM rampas, beku RM2.5 bilion sejak Jun

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merampas dan membekukan wang tunai bernilai RM2.5 bilion sejak Jun lalu.

Ketua Pesuruhajayanya Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata rampasan itu membabitkan pelbagai kesalahan rasuah, penyelewengan, serta salah guna kuasa selain siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh SPRM.

“Sejak Jun lalu juga, kita telah menahan 336 individu atas pelbagai kesalahan rasuah dan penyalahgunaan kuasa sebelum berjaya mendakwa kira-kira 100 daripada mereka  di mahkamah.

“Jumlah keseluruhan ini dilakukan SPRM dalam tempoh empat bulan, termasuk rampasan kes 1MDB.

"Jumlah itu pula tidak termasuk pelbagai barangan atau hartanah disita SPRM yang  belum dinilaikan," katanya dalam sidang media selepas menghadiri program temubual bersama Bernama Radio di Wisma Bernama, di sini, Jumaat.

Menurutnya, kesemua angka tangkapan, pertuduhan serta nilai wang tunai dirampas itu cukup mengejutkan sekaligus membuktikan kes rasuah dan penyelewengan di negara ini cukup serius.

Sebelum itu, selepas majlis deklarasi dan menandatangani ikrar bebas rasuah ketua-ketua jabatan Bernama, Mohd Shukri berkata SPRM menyahut seruan Perdana       Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad agar memerangi rasuah habis-habisan dan pesalah rasuah dikenakan hukuman lebih berat sekurang-kurangnya hukuman sebat.

“Rasuah boleh membawa kepada jenayah lain seperti kedatangan Pati (pendatang asing tanpa tanpa izin), kegiatan judi dan pelacuran.

“Seperti di China, mereka melaksanakan hukuman tembak mati kepada penjenayah yang mengamalkan rasuah.

“Namun, apa yang dicadangkan (hukuman mati) itu amat mustahil dilaksanakan. Ini kerana negara kita sedang dalam usaha untuk memansuhkan hukuman mati… kita boleh kenakan hukuman lain seperti sebatan,” katanya.

Pada Rabu, di London, Dr Mahathir berikrar bahawa kerajaan baru Pakatan Harapan akan bertindak habis-habisan bagi memastikan pentadbiran baru itu bebas dari gejala rasuah.

Beliau berkata  kerajaan dan anggota kabinetnya harus menjadi contoh terbaik dalam usaha memerangi rasuah. - Bernama

SPRM

Artikel Berikut

Artikel Lain