suria

Ezzatul takut suara pecah depan orang ramai, tapi kawan yakin ‘boleh pergi jauh’

Ezzatul (tengah) bersama kawannya sejak di sekolah menengah.

PETALING JAYA: Pada awalnya gadis berusia 18 tahun ini tidak berminat untuk mengetengahkan bakat nyanyiannya gara-gara tiada keyakinan diri, tetapi dia terpaksa akur dengan permintaan netizen yang terpegun dengan kelunakan suaranya.

Rata-rata netizen mahu Nur Ezzatul Husna Ismail atau lebih mesra disapa Ezzatul mengetepikan perasaan malu dan menonjolkan bakat nyanyian di khalayak ramai.

Ezzatul ketika dihubungi mStar Online memberitahu dia akan memenuhi permintaan tersebut dalam sebuah pentas terbuka dikenali sebagai Open Mic yang diadakan di gelanggang kolej kediamannya, malam Selasa depan.

"Mula-mula kawan cabar kalau cecah 150 retweet saya akan nyanyi. Saya fikir mustahil akan tercapai kerana video nyanyian tu biasa-biasa sahaja.

"Namun saya terkejut kerana dapat notification dari semasa ke semasa. Tengok-tengok dah sampai 17,000 retweet.

"Insya-Allah kalau pentas Open Mic dibuka minggu depan, nak tak nak kena nyanyi jugalah nanti," katanya.

Menurut gadis kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang ini, dia memang suka menyanyi tetapi malu untuk menonjolkan bakatnya di khalayak ramai.

"Menyanyi memang hobi sejak dari sekolah menengah lagi tapi saya tak menyanyi di depan public cuma nyanyi antara kawan-kawan sahaja.

Nur Ezzatul Husna Ismail.

"Bukan apa saya takut mana tau tiba-tiba suara pecah, jadi banyak kerisauan di situ," katanya.

Video nyanyian penuntut di sebuah universiti awam di Merbok, Kedah itu yang dimuat naik empat rakannya di Twitter tular dan diulang kicau kira-kira 17,000 kali dan mendapat 12,000 tanda suka.

Rata-rata netizen memuji kelunakan suara Ezzatul dan menyifatkan dia boleh pergi lebih jauh.

Rakan kepada Ezzatul, Anis Alisya Azmi memberitahu video itu dimuat naik di Twitter Rabu lalu selepas permintaan mereka untuk melihat teman sejak di sekolah menengahnya menyanyi di pentas terbuka tidak kesampaian.

"Lepas dia habis kelas kami minta dia naik pentas tapi dia kata tak nak. Kami pun kecewa sebab dah tunggu dua jam semata-mata untuk lihat dia perform.

"Masa dalam perjalanan balik kolej tu Ezzatul kata nak nyanyi. Dia pun nyanyi mungkin nak sedapkan hati. Kami pun bagi semangat dan salah seorang rakan kami pun rakam video dan post dekat Twitter," katanya.

Namun Anis berkata, dia dan tiga rakannya, Fatin Nabihah Azhan, Nureen Nabilah Rushdi dan Puteri Ziliasari Zolkiffle tidak menjangka video tersebut mendapat perhatian ramai.

"Pada awalnya kami hanya suka-suka sahaja. Terkejutlah juga sebab asalnya nak dapat 150 retweet je tapi tak sangka dapat lebih tinggi.

"Terima kasih kepada netizen yang membantu usaha kami bagi semangat dan sokongan kepada Ezzatul supaya tidak lagi malu menonjolkan suaranya yang merdu itu," katanya.

Ezzatul, nyanyian

Artikel Berikut

PAU2018 kurang meriah

Artikel Lain