KUALA LUMPUR: Kali pertama Perhimpunan Agung Umno (PAU2018) tahun ini diadakan dengan parti tersebut sebagai pembangkang, suasana di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini dilihat kurang meriah berbanding tahun-tahun sebelum ini. Lokasi tetap perhimpunan tahunan itu tetap menjadi tumpuan perwakilan seluruh negara bagi menghadiri perhimpunan yang bermula malam tadi dengan majlis perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri dan berakhir pada Ahad, namun kehadiran orang ramai agak kurang tahun ini. Paling terasa pastinya golongan peniaga yang saban tahun sering menjadikan perhimpunan itu sebagai lubuk rezeki mereka. Peniaga kain songket Nik Kamariah Mustapha, 63, dari Kota Bharu, Kelantan mengakui suasana perhimpunan kali ini tidak semeriah dahulu. Beliau yang telah berniaga pada perhimpunan itu sejak 30 tahun lepas berkata setakat semalam sejak gerainya dibuka, hanya 10 helai kain songket berjaya dijual dan jumlah itu amat sedikit sekiranya dibandingkan tahun-tahun sebelum ini. “Jika dahulu kira-kira lima hari perhimpunan berlangsung dan jumlah jualan boleh mencapai RM70,000 atau RM80,000. Tapi ini perhimpunan hanya tiga hari jadi saya tidak tahu berapa sahaja boleh terjual. Saya harap jualan sekurang-kurang RM30,000 supaya boleh balik modal,” katanya. Peniaga pakaian dan kain pasang Rokman Muhammad, 43, berkata setakat semalam jualannya berkurangan lebih kurang 70 peratus berbanding sebelum ini. “Sudah 10 tahun saya berniaga di sini. Tetapi pada tahun ini dapat lihat perbezaannya. Walaupun ramai yang mengunjungi gerai saya namun ia tidak semeriah dahulu,” katanya yang juga dari Kota Bharu. Bagi pemerhati rombongan Pergerakan Wanita Umno Dewan Undangan Negeri Kota Putera, Besut, Terengganu, Kamariah Salim, 64, yang memang 'setia' mengikuti persidangan itu sejak usianya 40 tahun lagi merasakan kemeriahan yang ada sebelum ini hilang, tidak seperti dahulu. "Orang pun tak ramai mana kalau nak banding dahulu. Biasanya kalau depan lobi utama itu sesak. Nak pergi tandas pun beratur ambil giliran sebab sesak. Semangat itu memang hilang sikit, tapi dalam hilang pun kita tetap datang sukarela. Perhimpunan ini seakan tradisi yang memang kami tunggu," katanya. Bagaimanapun, perwakilan Puteri Umno Bahagian Kalabakan Sabah, Dewi Susanti Suparman, 32, berpendapat kemeriahan itu masih ada tetapi tempoh tiga hari persidangan berbanding lima hari sebelum ini menyebabkan ia kelihatan kurang meriah. "Memang orang agak berkurangan jika dibanding dengan tahun lepas. Mungkin kerana hari persidangan kurang berbanding tahun lalu. Tapi ia masih meriah," katanya. Tinjauan Bernama mendapati dari segi persiapan, perhimpunan kali ini tidak ada kurangnya berbanding tahun-tahun yang lepas, dengan dewan serta ruang di PWTC, tiang-tiang utama turut dihias dengan pelbagai poster, grafik, sepanduk dan bendera. Laman Media disediakan untuk petugas media membuat liputan sepanjang perhimpunan parti berusia 70 tahun itu. Kira-kira 52 agensi media melibatkan media cetak dan elektronik terdiri daripada 39 agensi tempatan serta tujuh agensi antarabangsa, dengan penglibatan seramai 562 petugas media membuat liputan sepanjang perhimpunan. Bagi ruangan pameran dan jualan, kiosk dan ruang niaga pula, kira-kira 100 gerai turut memeriahkan perjalanan perhimpunan ini dengan menjual pelbagai produk termasuk tekstil, makanan serta minuman keluaran industri kecil dan sederhana. - BERNAMA