KUALA LUMPUR: Ibu kepada tiga orang anak, Kokilam Kathirvailu dinobatkan sebagai Mrs Malaysia World 2018 selepas mengetepikan 17 peserta lain pada pertandingan akhir di sini, malam Sabtu. Wanita berusia 34 tahun itu dipakaikan mahkota kejuaraan bernilai RM2.5 juta tajaan Ceres Jewels Malaysia serta menerima barang kemas bernilai RM25,000, trofi dan lain-lain hadiah sampingan. Anak kelahiran Kuala Lumpur itu menyifatkan kemenangannya sebagai satu inspirasi kepada golongan wanita yang ingin mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang tidak kira usia. “Kepada semua wanita yang berkahwin, anda boleh menaruh impian besar, jika anda punya keyakinan diri, anda pasti akan mencapai impian...,” kata pelajar tahun tiga dalam bidang psikologi di Universiti Terbuka Malaysia itu. Beliau akan mewakili Malaysia di peringkat dunia (Mrs World) di China pada Januari depan. Tempat kedua dan ketiga pula masing-masing dimenangi oleh Lila Ruzaini Hussain, 47, dari Pahang; dan Marianny Ismail, 33, dari Melaka. Seramai 18 wanita berusia 27 hingga 53 tahun berasal dari Johor, Selangor, Sarawak, Melaka, Pahang dan Kuala Lumpur daripada pelbagai latar belakang kerjaya menyertai pencarian Mrs Malaysia World 2018 . - BERNAMA