PORT DICKSON: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu, pihak yang mahu mengkritiknya perlu menggunakan taktik baharu untuk menjatuhkannya dan bukan cuba mengaitkannya dengan dakwaan liwat, yang disifatkan sebagai pendekatan lapuk. "Ini (tuduhan meliwat) telah berlaku selama 20 tahun. Cukuplah... sila cari modal lain (cari isu lain). "Saya tidak terkesan dan kurang peduli (dengan tuduhan terbaharu)," katanya kepada pemberita di pusat operasi Pakatan Harapan (PH) di sini, Isnin. Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai satu 'posting' yang tular pada Ahad, mendakwa beliau meliwat seorang pelajar warga Indonesia di Singapura, baru-baru ini. 'Posting' tersebut mendakwa mangsa membuat laporan polis dan telah menjalani rawatan di sebuah hospital di negara jiran itu. Ia ditularkan oleh Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam yang mendakwa ia adalah sumber daripada media Singapura. Bagaimanapun, media Singapura, Berita mediacorp, yang merupakan sebuah portal berita di bawah syarikat Mediacorp menafikan sumber kepada laporan tersebut. Semakan The Star mendapati Lokman telah memuat naik pembetulan bahawa Berita media corp bukan menyiarkan berita berkenaan. Ditanya sama ada mengambil tindakan undang-undang terhadap Lokman, Anwar hanya berkata, beliau kini mahu menumpukan pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson. Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, beliau telah membuat laporan berhubung perkara tersebut di balai polis daerah pada pukul 11 pagi Isnin. "Saya juga meminta teman-teman di negeri-negeri lain untuk membuat laporan polis supaya tindakan sewajarnya dapat diambil kepada sesiapa yang menyebarkan berita palsu," katanya. Anwar yang merupakan Presiden PKR baharu dipilih, akan bertanding pada PRK Port Dickson, 13 Oktober ini. - The Star