PORT DICKSON: Sebuah syarikat penerbangan besar akan melaksanakan sebuah program khas untuk kawasan Port Dickson tidak lama lagi, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim. Calon Pakatan Harapan untuk pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson itu berkata, beliau akan mengumumkan butiran berkenaan dalam beberapa hari lagi. "Program syarikat penerbangan itu merupakan salah satu daripada tiga projek besar yang saya fikirkan untuk rakyat Port Dickson. "Berikan saya beberapa hari, dan saya akan mengumumkannya," katanya ketika berkempen di Kg Seri Parit. Anwar yang terbabit dalam pertandingan tujuh penjuru berkata, dua rancangan lain adalah program pendidikan khas untuk pelajar Tahap Satu hingga Tingkatan Lima dan pembinaan sebuah hotel. "Saya juga akan mengumumkan butiran program pendidikan dan hotel, yang akan mewujudkan peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan, tidak lama lagi," katanya. Anwar menegaskan bahawa kesemua program itu akan diterajui sektor swasta. Beliau berkata, hotel baharu itu akan membantu merancakkan aktiviti ekonomi di kawasan Port Dickson.