suria

"Saya tarik dia sekuat hati..." - Ketua cawangan Bersatu selamatkan warga emas nak bunuh diri

PETALING JAYA: Sebuah video cubaan bunuh diri tular sejak pagi Selasa, menunjukkan seorang lelaki mahu terjun dari tingkat atas sebuah pangsapuri di utara tanah air.

Menerusi video berdurasi kira-kira seminit itu, kedengaran jiran-jiran di kawasan perumahan tersebut cuba memujuk warga emas berkenaan untuk tidak membunuh diri.

Warga emas tersebut bagaimanapun berjaya diselamatkan, termasuk dibantu oleh seorang jirannya, yang merupakan Ketua Cawangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Jalan Perak (Jelutong), Rahman Syed Mohamed.

Rahman, 49, ketika dihubungi mStar Online berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 2 pagi Selasa di kawasan perumahannya di Flat Sri Wonder, Lorong Perak di Jelutong, Pulau Pinang.

Rahman Syed Mohamed.

Dia yang ketika itu sedang menonton televisyen terdengar bunyi orang berjalan perlahan-lahan di luar rumah, pada awalnya disangka terdapat cubaan untuk mencuri.

“Bila keluar rumah, saya tengok ramai penduduk cuba pujuk jiran saya, seorang warga emas daripada cubaan membunuh diri. Pakcik ni sudah berdiri di atas tembok.

“Pasukan bomba pun sudah tiba di tempat kejadian. Dalam proses memujuk tu, saya mengambil risiko untuk tarik pakcik ni di bahagian lutut dari arah belakang.

“Alhamdulillah, pakcik ni berjaya diselamatkan. Pakcik ni cuba bunuh diri disebabkan tekanan akibat penyakit yang dialaminya,” katanya, tetapi tidak mengetahui penyakit yang dialami warga emas yang tinggal di tingkat 10 itu, berjarak dua unit dengan rumahnya.

Ketika kejadian isteri warga emas itu sedang tidur di rumah dan difahamkan selepas diselamatkan, jirannya itu dihantar ke hospital oleh keluarganya untuk menerima rawatan.

Rahman yang merupakan pengusaha restoran di kawasan kejiranan itu berkata, dia nekad untuk menyelamatkan jirannya bagi mengelakkan kejadian tak diingini.

“Memang berisiko tinggi, tapi saya yakinkan diri demi keselamatan dan nyawa dia. Saya tarik dia sekuat hati,” kata Rahman yang mengalami cedera ringan dalam insiden itu.

Rahman yang tinggal di pangsapuri itu bersama keluarganya hampir 20 tahun berkata, penduduk setempat perlu prihatin dan membantu dalam menangani insiden seperti ini.

“Jangan bila dah nampak hanya duduk diam atau sekadar rakam saja. Sebagai jiran, kita perlu membantu dan mendapatkan kerjasama daripada jiran-jiran lain,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada pasukan bomba dan jiran-jiran setempat yang turut membantu.

Rahman menunjukkan lokasi jirannya cuba untuk membunuh diri dalam kejadian awal pagi Selasa.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat, Jalan Perak, Jelutong, Wan Chik Ariffin Md Ismail yang mengetuai operasi itu ketika dihubungi mengesahkan kejadian yang berlaku awal pagi Selasa.

“Kita menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.06 pagi dan tiba di tempat kejadian di Flat Sri Wonder di Lorong Perak seminit kemudian.

“Kita berjaya menyelamatkan warga emas berusia 62 tahun. Kita mendapat laporan daripada jiran-jiran lelaki ini trauma dan mempunyai masalah kesihatan. Pihak polis kemudian tiba untuk memberikan bantuan,” katanya, sambil menambah dalam operasi itu pasukannya terdiri daripada lapan anggota.

Rahman Syed Mohamed, bunuh diri

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan