suria

Bukan lagi babak filem Hollywood, warga Syria terkandas di KLIA2 ditahan

Hassan al Kontar.

PUTRAJAYA: Hassan al-Kontar (gambar), warga Syria yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) sejak Mac lalu, tidak lagi seperti watak Tom Hanks dalam filem The Terminal, apabila dia ditahan polis pada Isnin.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, Hassan ditahan polis pada Isnin kerana berada di "kawasan larangan" di lapangan terbang itu.

"Penumpang penerbangan dengan pas masuk di kawasan pelepasan sepatutnya berlepas. Tetapi dia (warga Syria) berbuat demikian. Jadi dia berada di zon larangan, oleh itu pihak berkuasa mengambil tindakan yang sewajarnya," kata Mustafar pada sidang media di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen di sini, Selasa.

Mustafar berkata, warga Syria itu akan diserahkan ke Jabatan Imigresen selepas disoal siasat polis.

"Dalam kes ini, kita akan berhubung dengan kedutaan Syria untuk memudahkan pengusirannya ke negara asal.

"Dia mendakwa bahawa dia tidak mahu kembali ke Syria kerana enggan menjadi tentera di sana, atau apa pun sebab sebenarnya.

"Tetapi kita perlu mengakhirinya (isu terkandas) di sini," kata Mustafar.

Warga Syria berusia 36 tahun itu dilaporkan terkandas di kawasan transit di KLIA2 sejak Mac lalu.

Dia memuat naik video dirinya terkandas di media sosial, sehingga meraih perhatian media dan kumpulan hak asasi manusia.

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan