suria

"Mereka adalah insan terpilih..." - Enam anggota bomba mati syahid, kata mufti

Jenazah enam anggota Bomba Dan Penyelamat diberi penghormatan terakhir selepas disembahyangkan di Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15 hari ini sebelum dikebumikan di kampung halaman masing-masing.-fotoBERNAMA

PETALING JAYA: Enam anggota bomba yang lemas semasa menyelamatkan seorang remaja yang terjatuh ke dalam sebuah lombong di Puchong, malam Rabu diiktibarkan sebagai mati syahid.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata iktibar itu berasaskan kepada hadis Riwayat al-Bukhari (653) yang bermaksud: "Orang yang mati syahid lima golongan iaitu orang yang mati kerana taun, mati kerana penyakit perut, mati lemas, ditimpa runtuhan dan syahid di jalan Allah".

-foto BERNAMA

"Berita kematian enam anggota bomba kerana ingin menyelamatkan mangsa berakhir dengan terkorban mati lemas menginsafkan kami, serta memberi makna yang mendalam pada maksud pengorbanan dalam tugas.

"Kepada rakan kita ini, mereka jauh lebih mulia kerana bukan sahaja mereka mati lemas, tetapi menolong dan membantu mangsa sehingga terkorban.

"Mereka adalah insan-insan terpilih dan mempunyai hati yang suci serta amat memahami tanggungjawab dan tugas yang diamanahkan, terutamanya dalam kecemasan hingga kepada nafas yang terakhir dan denyut nadi yang terakhir," katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Sementara itu, Zulkifli turut meluahkan rasa duka cita di atas tragedi yang berlaku selain turut memuji semangat keenam-enam mangsa yang disifatkan sebagai luar biasa.

Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

"Inilah syuhada kita. Semoga Allah menempatkan mereka bersama para Nabi, al-Siddiqin dan syuhada. Amin.

"Syabas Bomba Malaysia dan juga kepada mereka yang bertindak seperti syuhada’ kami ini,” katanya.

Zulkifli turut berharap agar keluarga mangsa yang terkorban tabah menghadapi dugaan itu.

"Kepada ahli keluarga, bertabahlah. Insya-Allah setiap apa yang telah berlaku pasti ada hikmah yang kadang-kadang amat sukar ditafsirkannya.

"Dengan berharap kepada Allah SWT, berdoalah dengan kesabaran yang tinggi, Insya-Allah akan datang bantuan daripada-Nya," katanya.

Pada masa sama beliau turut menyarankan kepada kerajaan Malaysia supaya mengurniakan anugerah kecemerlangan dan menaikkan pangkat kesemua mangsa untuk memberi sedikit kelegaan kepada ahli keluarga mereka.

"Sesungguhnya, inilah staf kerajaan dan pekerja di era Malaysia baharu yang sanggup berkorban apa sahaja.

"Marilah sama-sama kita merafakkan doa agar mereka semua ditempatkan pada kedudukan yang terpuji di sisi Allah. Al-Fatihah buat mereka. Sekali lagi, takziah buat keluarga," katanya.

Beliau turut menggesa rakyat Malaysia supaya menghulurkan bantuan kepada keluarga mangsa untuk meringankan beban mereka agar mereka dapat meneruskan kehidupan sekali pun diuji dengan perpisahan orang tercinta.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan