PETALING JAYA: Ketika hampir seluruh rakyat Malaysia sedang bersedih dengan insiden melibatkan enam anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) yang terkorban pada Rabu, wujud segelintir individu yang tergamak melemparkan kata-kata kurang enak di laman sosial berhubung tragedi itu. ARTIKEL BERKAITAN: 6 anggota bomba lemas ketika cuba selamatkan remaja di lombong ARTIKEL BERKAITAN: Operasi SAR 6 bomba ikut SOP Berasa terpanggil dengan posting penghinaan itu, seorang anggota Bomba dari cawangan Sungai Petani, Kedah, tampil mempertahankan rakan seperjuangannya menerusi laman Facebook. Bercakap kepada mStar Online, Mohd Farhan Shaari, 36, yang turut bertugas dalam Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA) menyifatkan komen negatif tersebut sebagai tidak wajar dan tidak menghormati perasaan waris mangsa terlibat. "Dalam pukul 12 malam, saya ternampak komen itu di Facebook. Masa tu kita pun tengah sedih lepas dapat berita mengenai enam anggota yang terkorban. "Jadi saya post di Facebook, tapi saya pun tak ada lah nak maki atau hentam dia, saya cuma ucap terima kasih sahaja. "Ada dua tiga lagi akaun Facebook lain yang turut mengeluarkan komen negatif. Pada saya itu sangat tidak patut," ujarnya sewaktu dihubungi pada Khamis. Perkongsian Farhan di Facebook miliknya berhubung komen tidak sensitif di akaun @Sharom Caom mengenai insiden melibatkan enam anggota bomba pada Rabu. Menurut Farhan lagi, dia tidak berniat untuk mensensasikan komen itu namun berasa terpanggil untuk mempertahankan rakan seangkatan yang terlibat dalam kejadian itu. Malah, dia juga mengakui mengenali salah seorang daripada enam mangsa iaitu Adnan Othman menerusi satu kursus sebelum ini. "Komen lelaki itu memberi gambaran seperti anggota yang terkorban tidak berpengalaman. "Memang terluka baca komen itu, apatah lagi waris mangsa. Saya harap individu tersebut akan mohon maaf kepada waris terlibat. "Kita tidak boleh melawan takdir Allah. Profesional macam mana sekali pun, kalau dah takdir, ia tetap akan berlaku," ujarnya lagi. Farhan yang sudah 15 tahun bertugas sebagai anggota bomba turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa terlibat serta remaja yang masih belum ditemui dalam pencarian itu. Sementara itu, perkongsian Farhan menerima hampir 4,000 tanda suka dan dikongsi hampir 6,000 pelayar Facebook. Rata-rata netizen turut meluahkan rasa tidak puas hati berhubung komen biadab individu yang menggunakan nama Syahrom Caom itu. Jenazah enam anggota tersebut diberi penghormatan terakhir selepas disembahyangkan di Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15 pada Khamis sebelum dikebumikan di kampung halaman masing-masing. "Belum kena dengan keluarga sendiri. Tak rasa boleh la cakap orang. Cakap tak fikir, nanti baru nak minta maaf. Dah dewasa tapi macam orang tak waras," tulis Zareef Razak. "Berani mengucapkan 'bodoh' pada takdir Allah... Siapa kita yang hanya makhluk ciptaan-Nya. Harap sedar-sedar la dengan setiap bicara, lebih-lebih lagi tentang kematian yang sudah pasti," tulis Nurul Hidayah Raudah pula. Sebelum itu enam anggota PPDA JBPM mati lemas ketika cuba menyelamatkan seorang remaja yang terjatuh di lombong di Taman Putra Perdana, Serdang. Mereka yang maut dikenali sebagai Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24, dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang. Dua lagi mangsa adalah dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam yang dikenal pasti sebagai Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.