PETALING JAYA: Salah seorang anggota bomba yang terlibat dalam operasi menyelamatkan seorang remaja terjatuh ke dalam lombong di Taman Putra Perdana, Puchong dipercayai sempat memuat naik posting berkaitan kematian di akaun Facebooknya sebelum dilaporkan maut. Posting terakhir menyentuh hati itu dipercayai ditulis anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Adnan Othman, 33, dan mula dikongsi netizen sejak pagi Khamis. ARTIKEL BERKAITAN: 6 bomba lemas ketika cuba selamatkan remaja di lombong Posting menggunakan akaun Adnan Othman Tokey Gula berbunyi "Pilihan kita ini ibarat ranting kayu yang banyak cabang, dalam setiap cabang itu masih ada lagi cabang-cabang yang akan tunggu masa bila ia akan mati. Apa pilihan kita?? TIADA... yang pasti tetap mati." Posting terakhir dipercayai ditulis Adnan. Ia dipercayai ditulis mangsa beberapa jam sebelum menyertai operasi menyelamat pada malam Rabu. Posting tersebut seolah-olah memberi bayangan mengenai nasib yang akan menimpanya. ARTIKEL BERKAITAN: Mangsa berpusing-pusing dalam air Selain itu, Adnan juga gemar bercerita mengenai tugas mencabar seorang anggota bomba di Facebook miliknya. Netizen turut meluahkan rasa simpati mereka di ruangan komen posting tersebut. Selain Adnan, lima lagi anggota yang maut adalah Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24, dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang serta Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25, dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam. Kesemua mangsa lemas selepas dipercayai bergelut di kawasan pusaran air yang deras sebelum peralatan menyelam berputar dan gagal keluar dari pusaran. Mereka kemudian berjaya ditarik ke tebing namun berada dalam keadaan tidak sedarkan diri. Malah pasukan perubatan yang berada di lokasi cuba memulihkan mangsa dengan melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) namun tidak berjaya.