KUALA LUMPUR: Mahkamah Admiralti telah meluluskan pelantikan broker pusat dan penilai untuk kapal mewah Equanimity itu dilelong. Pesuruhjaya Kehakiman Khadijah Idris mengeluarkan perintah itu setelah mendengar hujah oleh peguam yang mewakili 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kerajaan pada Jumaat (5 Okt). "Kapal itu akan dijual secepat mungkin. "Penaksir akan menilai nilai saksama kapal, manakala broker pusat akan mengurskan semua iklan dan sebagainya. "Para pembeli mungkin berminat untuk mengetahui tentang ciri-ciri dan keadaan kapal itu," kata peguam Sitpah Selvaratnam kepada The Star pada Jumaat. Sitpah yang mewakili 1MDB berkata, mereka berharap sebanyak 250 juta dollar Amerika (RM1bil) nilai kapal Equanimity akan dilelong pada minggu kedua November. "Mungkin ada tempoh selama sebulan ia akan diiklankan dan mahkamah akan menerima bidaan sehingga mungkin, awal Disember. "Kami berharap tawaran yang diperolehi akan diterima oleh mahkamah. Salah seorang daripada mereka akan menjadi pembida tertinggi. "Kami harap kami dapat menerima satu nilai, dan kapal itu akan meninggalkan perairan (negara ini) menjelang akhir Disember," katanya. Apabila ditanya sama ada terdapat pembeli untuk superyacht tersebut, Sitpah menyuarakan keyakinannya. Beliau menambah bahawa ahli perniagaan Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low, yang kononnya pemilik kapal layar itu tidak muncul untuk mencabar jualan superyacht tersebut.