suria

Saksi dengar suara sayu minta tolong, bayi antara lima rentung

KUALA KANGSAR: “Saya dengar suara sayu seorang perempuan meminta tolong sebaik sahaja api sudah marak,” kata seorang saksi kemalangan Nurul Amelia Amran, 24.

Lima rentung dalam sebuah kereta yang terbakar dalam kemalangan membabitkan sebuah treler dengan beberapa buah kenderaan di Km255.3 Lebuhraya Utara-Selatan menghala utara selepas Terowong Menora di sini, Sabtu.

Nurul Amelia berkata beliau yang dalam perjalanan dari Kuala Kangsar ke Ipoh menyaksikan kemalangan itu kira-kira pukul 11.54 pagi.

“Dari jauh saya dah nampak lori itu menghimpit ke kanan jalan sebelum bunyi dentuman kuat, kemudian tidak sampai berapa minit api sudah marak.

"Apabila saya berselisih dengan kemalangan itu, saya lihat kereta telah dihimpit lori dan api sudah marak,” katanya ketika ditemui pemberita di bilik forensik Hospital Kuala Kangsar di sini Sabtu.

Pekerja swasta itu berkata beliau sempat merakam kejadian itu menggunakan telefon bimbitnya sebelum berhenti sebentar untuk membantu mangsa.

“Saya dan pengguna jalan raya lain tidak dapat berbuat apa-apa kerana api marak terlalu cepat dan bahang terlalu panas,” katanya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak Supt Ahmad Adnan Basri berkata dalam kejadian kira-kira 11.47 pagi Sabtu, lima yang rentung adalah mangsa dalam sebuah kereta, namun identiti mereka masih belum dikenal pasti.

Media dimaklumkan pengecaman mayat akan dilakukan pada Ahad.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar Muhammad Shaznil Abd Thoher berkata seorang daripada mangsa yang rentung dipercayai bayi selain empat mangsa dewasa.

“Ketika operasi pemadaman dijalankan kita lihat pemandu dan penumpang hadapan sudah rentung.

"Apabila kerja-kerja pemadaman api selesai dan pemeriksaan dijalankan dua mangsa dewasa rentung ditemui di tempat duduk penumpang belakang manakala bayi itu dijumpa tertindih oleh seorang daripada mangsa itu,” katanya.

Beliau berkata bomba mengambil masa 20 minit untuk memadam kebakaran berikutan keadaan muatan dan bahagian treler terbakar sepenuhnya.

“Anggota mengambil masa lebih kurang 30 minit untuk mengeluarkan kesemua mayat dari dalam kereta,” katanya.

Katanya, 16 anggota bomba termasuk seorang pegawai serta lima jentera dari Balai Bomba Kuala Kangsar dan Meru Raya terlibat dalam operasi itu. - BERNAMA

kemalangan, rentung

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain