suria

Polis tiba di tanah perkuburan untuk gali semula kubur CEO Cradle

Nazrin Hassan.

PETALING JAYA: Pasukan polis tiba di Tanah Perkuburan Islam Kota Damansara, di mana kubur jenazah Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan, akan digali semula pada Isnin.

Kelihatan anggota polis menjaga pintu masuk ke tanah perkuburan sementara terdapat beberapa pihak lain di dalam kawasan itu.

Setakat ini, pengamal media dilarang memasuki tanah perkuburan tersebut.

Abang kandung mangsa, Dr Malek Hassan, yang meminta supaya kubur jenazah Nazrin digali semula untuk bedah siasat kali kedua, menyifatkan sesuatu yang tidak kena dengan penemuan bedah siasat pertama.

"Saya diberitahu punca kematian akibat letupan telefon, saya seorang doktor perubatan yang berpengalaman selama 30 tahun dan saya merasakan sesuatu yang tidak kena pada punca kematiannya," katanya pada 2 Oktober lalu.

Dr Malek membuat laporan polis meminta bedah siasat kali kedua pada 24 September lalu.

Permohonan itu dibenarkan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Isnin.

Bedah siasat kali kedua dijadualkan pada 8 Oktober.

Nazrin, yang maut dalam kebakaran di rumahnya pada 14 Jun lalu, ditemui dengan 30 peratus kesan lecur pada badannya, di tingkat atas rumah dua tingkatnya.

Polis telah mengklasifikasi semula kes itu sebagai bunuh berikutan siasatan forensik oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Beberapa individu telah direman dan dibebaskan dalam siasatan kes pembunuhan itu, termasuk isteri Nazrin dan bekas suaminya, pasangan suami isteri yang dikaitkan dengan isterinya, dan dua anak tiri.

Nazrin Hassan, Cradle Fund

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain