KAJANG: Bukan sesuatu yang mengejutkan melihat bayi di penjara. Di sebalik pintu yang dikunci dan jeriji besi di dalam penjara wanita Kajang, seorang banduan boleh dilihat sedang mendodoikan anaknya untuk tidur. Insiden banduan yang melahirkan anak semasa tempoh mereka dipenjarakan bukan kes terpencil. "Tak pernah tak ada," kata pegawai Jabatan Penjara, Inspektor Punita Shamuggam dalam satu temuramah. Tiada angka yang tepat mengenai bilangan banduan wanita yang melahirkan anak semasa dipenjara. Menurun laporan media memetik Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Nadzri Siron sebagai, dianggarkan kira-kira 61,000 banduan di Malaysia setakat Ogos lalu. Daripada jumlah itu, 3,270 banduan wanita yang dipenjara di seluruh negara, setakat Jun lalu. Jabatan Penjara menggariskan prosedur operasi standard (SOP) bagi memberi kemudahan kepada "banduan yang menjadi ibu" dan anak-anak mereka. "Selepas kita memproses pendaftaran banduan yang dibawa masuk, kita akan melakukan pemeriksaan kesihatan mandatori. "Kita akan melakukan tindakan lanjut terhadap mereka yang hamil. Terdapat juga sesi kaunseling untuk mereka," kata Punita. Beliau menambah, banduan hamil akan dibawa ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan berkala. "Ia adalah sebahagian daripada tugas kita. Dan sebaik sahaja kehamilan itu sampai pada bulan kelapan, kita akan memindahkan banduan ke bahagian lain untuk kita memantau keadaannya," katanya. Menurutnya, penjara juga akan mengendalikan kertas kerja mengenai kelahiran anak itu. Ini termasuk berhubung dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk sijil kelahiran. Kedua-dua ibu dan anak itu akan ditempatkan di blok khas di dalam penjara, tidak bercampur dengan yang lain. "Mereka mempunyai kawasan khas, dengan disediakan katil dan barang-barang lain. Kita akan kuarantinkan mereka yang mempunyai masalah kesihatan," katanya. Apabila anak itu semakin membesar, dia akan dihantar ke nurseri khas di dalam penjara. Nurseri itu diberikan kepada ibu yang dipenjara kerana mereka mempunyai aktiviti harian. SOP menetapkan bahawa mana-mana kanak-kanak yang dilahirkan di dalam penjara akan berada di bawah jagaan ibu mereka sehingga anak itu berumur tiga tahun. "Kita tidak akan pisahkan mereka dalam tempoh itu. Mereka akan tinggal di dalam bilik seperti asrama, dan kita akan memantau kedua-dua ibu dan anak dalam pelbagai keadaan kesihatan mereka," katanya.