PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini membenarkan penggalian kubur jenazah Ketua Pegawai Eksekutif, Nazrin Hassan. ARTIKEL BERKAITAN: Polis tiba di tanah perkuburan untuk gali semula kubur CEO Cradle Ia selepas Hakim, Mohtarudin Baki, yang mempengerusikan panel tiga hakim, menolak permohonan isteri Nazrin, Samirah Muzaffar yang mahu menangguhkan perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Isnin. Mohtarudin berkata, tiada merit dalam permohonan Samirah. Beliau juga menolak permohonan Samirah untuk menangguhkan perintah mahkamah tinggi dan mahkamah majistret Petaling Jaya. Hakim lain di dalam panel itu ialah Abdul Karim Abdul Jalil dan Rodzariah Bujang. Samirah membuat permohonan untuk penangguhan bagi meneliti sama ada arahan untuk menggali kubur jenazah suaminya mengikut undang-undang. Nazrin, yang maut dalam kebakaran di kediamannya pada 14 Jun lalu, ditemui dengan 30 peratus kesan lecur pada badannya, di tingkat atas rumah dua tingkatnya. Polis telah mengklasifikasi semula kes itu sebagai bunuh berikutan siasatan forensik oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat. Beberapa individu direman dan dibebaskan dalam siasatan kes pembunuhan itu, termasuk isteri Nazrin dan bekas suaminya, pasangan suami isteri yang dikaitkan dengan isterinya, serta dua anak tiri.