PETALING JAYA: Jika pesakit diabetes di Malaysia mengetahui harga sebenar insulin di pasaran, pasti mereka tidak akan membazir ubat yang diberikan secara subsidi oleh klinik atau hospital kerajaan itu. Menurut senarai harga humalog (sejenis insulin bertindak pantas), ubat itu bernilai AS$274.70 (RM1,142) untuk 10 mililiter sebotol, lapor Business Insider. Di Malaysia, pesakit hanya dikenakan bayaran RM1 sebagai kos mendapatkan perkhidmatan di klinik atau hospital kerajaan, sementara insulin diberikan secara percuma. Terkini, tular di Twitter apabila seorang ahli farmasi @izzahrph meluahkan rasa terkilan terhadap sikap segelintir pesakit diabetes yang tidak menggunakan insulin yang diberikan sehingga menyebabkan pembaziran. "Insulin ni tak murah. Harga sebatang boleh cecah puluhan ringgit (di Malaysia). Cara penyimpanan - mesti dalam peti sejuk dua hingga lapan darjah Celsius. "Tak tahan lama di suhu bilik. Sedih. Kecewa. Sampai bila?," ujarnya melalui bebenang yang dimuat naik di Twitter pada Rabu. @izzahrph meluahkan kekecewaannya tentang isu pembaziran insulin di Twitter. Rata-rata netizen turut kecewa dengan sikap tidak bertanggungjawab sebilangan rakyat Malaysia yang suka mensia-siakan ubat dan tidak pandai bersyukur. Pengguna Twitter, @0109Yantie berkata, dia mencadangkan agar pesakit memulangkan insulin itu jika enggan menggunakannya daripada membazir begitu sahaja. "Ya Allah, membazirnya. Insulin saya, saya guna sebaik mungkin, bukan murah ni. "Kita patut bersyukur di Malaysia dapat insulin bayar RM1 sahaja. Di negara luar, kena bayar mahal tahu tak? "Sampai ada yang meninggal dunia sebab tak mampu beli insulin. Kalau tak nak guna, pulangkan," tulisnya. Sementara itu, @amar_udin_ pula berkata, proses untuk menghasilkan insulin bukan mudah dan harus dimanfaatkan dengan sebaiknya. Pemberian insulin ditanggung secara subsidi oleh pihak kerajaan. - Gambar hiasan/Facebook "Nak buat insulin bukan mudah, serius susah. Dari bank sel ke pemfermentasi ke pemecahan sel ke peringkat 'ciex' ke kromatografi cecair prestasi fasa terbalik ke proses 'lyopylizer'. "Baru dapat serbuk insulin. Lepastu cairkan di jabatan produk ubat dalam katrij. "Jadi, bila dapat percuma tu, hargailah dan pakai sebaiknya. Ikut apa yang disarankan," jelasnya. Tambah @amar_udin_, kerajaan menanggung jutaan ringgit setahun untuk menghasilkan insulin, tetapi pesakit membuangnya pula. Dalam pada itu, @byetool berkata, pesakit lain yang benar-benar memerlukan insulin sukar mendapatkan stok disebabkan sikap suka membazir sesetengah pesakit. "Ya Allah, orang yang bazirkan tu tahu tak azab bila yang guna insulin ni nak dapatkan stok di Klinik Kesihatan sering dimaklumkan tiada stok? Susah nak dapatkan insulin," ujarnya.