suria

Lima tahun tambat anak sakit mental dalam rumah

TUMPAT: Seorang ibu tiada niat menyeksa anak angkat yang mempunyai sakit mental namun terpaksa merantainya selama lima tahun di sebuah rumah di Kampung Kubang Sawa, di sini.

Mek Derahman, 62, berkata, tindakan itu dilakukan terhadap Ridzuan Adam, 42, kerana khuatir anaknya itu bertindak agresif mencederakan penduduk kampung.

“Saya bukan nak seksanya, tapi demi keselamatan kerana sebelum ini dia pernah acu pisau kepada saya. Saya juga fikirkan keselamatan penduduk kampung

“Risau dia terlepas dan mencederakan jiran-jiran,” katanya ditemui sempena penyerahan bantuan rumah Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) yang disempurnakan Pengerusi Biro Kebajikan dan Dakwah PKNIK, Mohd Rozi Mohd Noor.

Mek berkata, dengan kudrat tuanya dia tidak mampu mencari Ridzuan sekiranya merayau jauh dari rumah kerana hanya dia yang ada untuk menguruskan anak istimewa berkenaan.

“Saya ambil Ridzuan sebagai anak angkat masa bayi lagi tapi saya diuji apabila Ridzuan alami masalah kemurungan di usia remaja. Walau pun dah selalu dirawat di hospital sakit jiwa tak pulih sepenuhnya. Saya ada anak dua orang tapi tinggal di Kota Bharu dan Pulau Pinang.

“Saya yang jaga makan minumnya, tiga kali sehari saya hantar makanan di rumah buruk ini yang hanya bersebelah dengan rumah saya. Tak berani bawa Ridzuan tinggal bersama saya sebab risau dia bertindak agresif,” katanya.

Menurutnya, kerisauan berakhir apabila PKNIK membina sebuah rumah baru untuk Ridzuan berteduh bersebelahan rumahnya dan berterima kasih di atas keprihatinan biro itu menyelesaikan masalah Ridzuan.

“Siapnya rumah ini membolehkan Ridzuan bergerak bebas. Saya tak rantai Ridzuan lagi, dia dah ada rumah sendiri, cuma saya kunci pintu bimbang dia keluar merayau.

“Makanan saya hantar seperti biasa, doktor dari klinik kesihatan di sini juga datang buat rawatan rutin,” katanya.

Mek dan Ridzuan adalah penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).- SINAR HARIAN.

Penyakit Mental

Artikel Lain