PETALING JAYA: Golongan suami pasti tidak keruan apabila ‘harta’ kesayangan isteri iaitu bekas makanan jenama terkenal hilang atau tercicir. Begitulah yang dihadapi seorang suami apabila bekas jenama Tupperware yang berisi makanan tengah hari masakan isteri, tertinggal semasa menggunakan pengangkutan awam MRT, dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja. Namun dia bernasib baik kerana bekas tersebut ‘selamat’ selepas laman Facebook Rapid KL membuat posting pengumuman mencari pemiliknya, dengan memuat naik gambar beg berserta bekas berwarna hijau pucuk pisang itu. “Kepada pemilik Tupperware ini, sila datang ke MRT TTDI dengan kadar segera. Tertinggal nasi dengan kari ayam, kami boleh habiskan. Tapi tertinggal Tupperware mak, memang cari pasal,” menurut catatan pengendali laman sosial itu pada Khamis. Suami bertuah itu kemudian memberi respons di ruang komen status berkenaan bagi memaklumkan bahawa dirinya adalah pemilik bekas tersebut. Dia turut memberitahu bahawa lauk di dalam bekas makanan itu sebenarnya adalah ayam masak lemak, bukannya kari ayam seperti yang diuar-uarkan. “Salam Min (panggilan ‘admin’), di sini saya nak betulkan sikit dalam tu bukan kari ayam, tapi sebenarnye masak lomak ayam. “Maaf di atas kesulitan. Saya akan datang bersama seorang saksi untuk mengesahkan pemilikan barang nak dekat waktu makan tengah hari nanti,” kata seorang netizen bernama Azeim Cash. Dalam respons yang sama, dia turut memberitahu isterinya mengenai status bekas makanan tersebut: “Asmahan Abas, Tupperware kita selamat sayang... huhu. Terima kasih min.” Ucapan penghargaan kepada Rapid KL termasuk seorang insan yang baik hati di atas penemuan bekas Tupperware yang tercicir. Foto Facebook Azeim Cash Di halaman Facebook Azeim Cash, dia sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada Rapid KL kerana menyimpan dan menyerahkan semula beg yang berisi bekas makanan itu dan tidak dilupakan, individu yang menjumpainya. “Sejujurnya saya sangat berterima kasih kepada seluruh warga kerja Rapid KL terutama min Rapid KL, petugas di kaunter hadapan di Stesen MRT TTDI dan tidak dilupakan insan yang baik hati yang menyerahkan beg ini. Tindakan ikhlas dan pantas anda sangat dihargai. “Saya gembira untuk memberitahu Tupperware saya berada dalam keadaan selamat, siap dibasuh dan saya tidak kebuluran akibat tidak makan tengah hari tadi,” katanya. Dia turut mengucapkan terima kasih kepada netizen yang memberi tip, amaran dan sokongan moral susulan insiden tercicir bekas yang menjadi kesayangan kaum isteri itu. “Anda berjaya menghindar sebuah krisis!,” katanya secara berseloroh, berikutan hilangnya ‘harta’ kesayangan itu mungkin boleh mengundang kemarahan kaum isteri. “Kepada isteri Asmahan Abas, sedap sungguh masak lomak hasil air tangan awak, hehehe,” katanya. Pengumuman oleh pengendali halaman Facebook Rapid KL itu turut mengundang respons si isteri mengenai penemuan bekas tersebut di stesen MRT. “Hurmmmmm. Kita baru tinggalkan pergi kursus empat hari dah tertinggal Tupperware. Nasib baik @rapidkl iklankan. Terima kasih min. “Abang (panggilan buat suami), bagi min jelah makan masak lomak ayam tu. Kat rumah ada seperiuk lagi. Tapi Tupperware bawa balik ye,” katanya.