suria

Teman lelaki tanam bayi kekasih serah diri

BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki yang dipercayai menanam mayat bayi lelaki yang baru dilahirkan teman wanitanya awal pagi Jumaat, menyerah diri kepada polis di Balai Polis Bukit Mertajam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata lelaki berusia 23 tahun itu pada mulanya melarikan diri selepas dia menghantar teman wanitanya ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) berikutan wanita berkenaan mengalami pendarahan selepas bersalin.

"Polis melancarkan gerakan mengesan lelaki itu, namun tidak menemuinya sebelum dia datang ke Balai  Polis Bukit Mertajam untuk menyerah diri kira-kira pukul 10.30 malam tadi. Ekoran penahanan lelaki itu, polis membawanya ke tanah perkuburan di Bagan Dalam, Butterworth untuk mencari mayat bayi teman wanitanya yang ditanam di situ, namun tidak menemuinya," katanya pada Sabtu.

Beliau berkata lelaki itu mendakwa dia tidak ingat lokasi sebenar mayat bayi berkenaan ditanam di tanah perkuburan itu kerana dia dalam keadaan panik dan persekitaran di situ gelap.

Katanya sepasukan polis bersama bahagian forensik mengambil masa lebih lima jam hingga awal pagi ini untuk mencari lokasi sebenar mayat bayi itu ditanam, bagaimanapun tidak berjaya dan usaha tersebut diteruskan hari ini.

Nik Ros Azhan berkata lelaki itu kini direman untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Pada Jumaat, seorang wanita dilapor melahirkan bayi di rumah teman lelakinya di Kampung Pertama, Permatang Pauh di sini namun bayi yang dikatakan telah meninggal dunia itu dilaporkan ditanam lelaki berkenaan di kawasan tanah perkuburan di Bagan Dalam.

Berdasarkan siasatan, wanita itu mendakwa dia melahirkan bayi lelaki yang cukup sifat itu ketika kandungannya berusia lima hingga enam bulan pada Jumaat pagi, dan bayi itu dikatakan telah meninggal dunia.

Pasangan yang bekerja di sebuah hotel di George Town itu kemudian dikatakan membalut bayi berkenaan dengan kain pelekat sebelum menaiki motosikal ke tanah perkuburan di Bagan Dalam untuk menanamnya.

Doktor yang merawat wanita berusia 22 tahun itu mengesahkan terdapat kesan luka bersalin dan rahimnya juga kembang kesan daripada bersalin dan dia masih menerima rawatan lanjut di HSJ.-Bernama

Bayi, baru lahir

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain