suria

Ahmad Zahid sah ditahan SPRM, didakwa pada Jumaat

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah menahan bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Khamis.

Penahanan tersebut berhubung siasatan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana sebuah yayasan setelah SPRM mendapat izin mendakwa dari Pejabat Peguam Negara.

"Penahanan itu dibuat pada jam 3.15 petang di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, hari ini.

"Susulan itu, Ahmad Zahid akan menghadapi beberapa pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001," jelas kenyataan media SPRM.

Ahmad Zahid akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat, jam 8.00 pagi untuk pertuduhan tersebut.

Sebelum ini,  Ahmad Zahid telah disiasat sebanyak empat kali yang pertama pada 3 Julai, diikuti 10 Oktober, 11 dan 12, dengan setiap sesi siasatan berlangsung lebih lapan jam.

Pada Rabu, pegawai SPRM menghantar notis kepada presiden Umno itu meminta beliau hadir di ibu pejabat di Putrajaya pada jam 3 petang Khamis.

Ahmad Zahid, SPRM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain