PUTRAJAYA: Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menolak cadangan peguamnya bagi membuat permohonan kebenaran untuk diikat jamin supaya tidak ditahan di lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Khamis. Perkara itu dimaklumkan isterinya Datin Seri Hamidah Khamis ketika ditemui pemberita di perkarangan bangunan SPRM. "Peguam nak bagi dia keluar tetapi dia tak nak. Dia (Ahmad Zahid) akan di sini sampai esok pagi dan dari sini (ibu pejabat SPRM) pergi ke mahkamah (Kuala Lumpur)," katanya. Ditanya mengenai perasaannya, Hamidah berkata : "Saya ok". "Dulu, masa dia (ketua) Pemuda Umno, dia ditahan 10 hari (di bawah ISA)... jangan bimbang, doakan untuknya," kata Hamidah. SPRM hari ini memaklumkan penahanan Ahmad Zahid berhubung kes salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana sebuah yayasan. Ahmad Zahid akan menghadapi beberapa pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001. Bekas timbalan perdana menteri itu akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok pada 8.00 pagi untuk menghadapi pertuduhan tersebut. -Bernama