suria

“Saya dengar cerita, saya tak boleh…” - Bapa mangsa langgar lari tak sampai hati tengok video

Wan Alias kelihatan tenang menerima berita sedih kematian anaknya, Wan Amirah. FOTO: Nadia Shaiful Bahari

KUALA LUMPUR: Bapa mangsa insiden langgar lari di Cyberjaya yang berlaku pada malam Rabu tidak 'sampai hati' untuk menonton video kemalangan membabitkan anak perempuannya, Wan Amirah Wan Alias yang tular di media sosial.

Bapa allahyarham iaitu Wan Alias Wan Ismail, 66, berkata, dia baru mendapat tahu tentang rakaman video litar tertutup (CCTV) tersebut pada pagi Khamis.

"Saya tak boleh... saya dengar cerita, jadi saya tak boleh (tengok).

"Arwah mengalami pendarahan dalaman yang teruk di tubuhnya," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, di sini, petang Khamis.

Wan Amirah

Wan Amirah, 31, kakitangan Telekom Malaysia Bhd (TM) Unifi yang maut dirempuh dalam kejadian langgar lari di Cyberjaya selamat dikebumikan pada petang Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Mangsa langgar lari di Cyberjaya meninggal dunia

Jenazah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini pada pukul 5.30 petang dan dihadiri kira-kira 100 ahli keluarga dan kenalan rapat.

Kata pesara tersebut, anak perempuannya merupakan seorang wanita yang pendiam dan gemar mengembara.

"Dia dah beli tiket ke Finland untuk melihat 'Northern Lights' pada bulan Januari, namun tidak kesampaian.

Suasana ketika pengebumian jenazah Wan Amirah di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

"Saya juga pernah ikut dia bercuti di Pulau Maldives... dia suka selam skuba," ujar Wan Alias.

Sebelum ini, seorang wanita dilaporkan meninggal dunia setelah dirempuh dan diseret sebuah kereta dalam satu kejadian langgar lari di kawasan Shaftsbury Square di Cyberjaya Rabu malam.

Ketua Polis Sepang Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata mangsa, Wan Amirah, yang merupakan Penolong Pengurus GTM Event Sales, dilanggar sebuah kereta model Hyundai ketika sedang melintas jalan di kawasan tersebut.

Pemandu dalam kenderaan dengan nombor pendaftaran BHS 7999 bertindak melarikan diri dalam kejadian kira-kira 7.34 malam itu.

langgar lari, Cyberjaya, Wan Amirah

Artikel Lain