suria

Mangsa langgar lari rajin puasa sunat, rakan tanya “kau ni dah taubat ke?” dan jawabnya…

KUALA LUMPUR: "Seingat saya, dulu dia jarang puasa sunat, tapi selepas Ramadan lalu dia selalu puasa hari Isnin dan Khamis,” kata rakan sekerja mangsa langgar lari di Cyberjaya, Fakhrul Azri Jamaludin.

Fakhrul Azri berkata mangsa, Allahyarham Wan Amirah Wan Alias, 31, tidak menunjukkan perubahan sikap yang ketara sebelum insiden, namun mengakui rakannya itu rajin berpuasa sunat dan lebih pendiam berbanding sebelum ini.

“Saya pernah juga gurau tanya ‘kau ni dah taubat ke?’ tapi dia balas ‘ajal kita tak tahu bila’.

“Perbualan tu Ogos lalu tak silap saya. Kami berdua selalu bekerjasama kerana dia kendalikan acara dan saya pula sediakan tenaga kerja untuk acara tersebut," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, di sini, petang Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: "Saya dengar cerita... saya tak boleh" - Bapa mangsa langgar lari tak sampai hati tengok video

Fakhrul Azri, 29, adalah antara lebih 100 kenalan dan ahli keluarga yang hadir di majlis pengebumian Wan Amirah.

Fakhrul Azri

Sementara itu, kehilangan Wan Amirah turut dirasai oleh rakan sekerja lain yang menyifatkan allahyarham sebagai seorang yang begitu mesra.

Tambah memilukan, rakan-rakan sepejabat Wan Amirah yang merupakan kakitangan Telekom Malaysia Bhd (TM) Unifi itu baru sahaja menyambut ulang tahun kelahirannya pada minggu lalu.


Rakannya, Yap Wei Ing, 36, berkata, dia amat merasai kehilangan Wan Amirah kerana hubungan mereka berdua sangat akrab.

“Dia ingat kami lupa hari lahirnya pada 4 Oktober lalu dan tak sangka kami buat kejutan itu untuknya. Wan Amirah seorang yang mudah didekati dan dia bergaul dengan semua orang. Malah saya bersama tiga lagi rakan baru bercuti bersama di Boracay, Filipina, April lalu.

“Amirah seperti adik bongsu kami walaupun umurnya bukan paling muda. Semua rakan-rakan pejabat sayangkan dia," katanya.

Yap Wei Ing

Dalam pada itu, kemaskini terakhir Wan Amirah di laman Instagramnya pada 1 Oktober lalu memaparkan video dirinya melakukan aktiviti selam skuba.

Wan Amirah memuat naik video menyelam berserta kapsyen: "TB to last year's today because real time today is depressing, and I need some social media validation. (Imbau kembali ke tahun lalu hari ini kerana masa sekarang sungguh menekan, dan saya perlukan sedikit pengesahan media sosial).

ARTIKEL BERKAITAN: Mangsa langgar lari di Cyberjaya meninggal dunia

Ketua Polis Sepang Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali pada Khamis berkata mangsa, yang merupakan Penolong Pengurus GTM Event Sales, dilanggar sebuah kereta model Hyundai ketika sedang melintas jalan di Shaftbury Square, Cyberjaya, malam Rabu.

Pemandu dalam kenderaan dengan nombor pendaftaran BHS 7999 bertindak melarikan  diri dalam kejadian kira-kira 7.34 malam.

Mangsa dihantar ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan, bagaimanapun meninggal dunia kira-kita 4 pagi Khamis, katanya.

Mangsa langgar lari, cyberjaya

Artikel Lain