SHAH ALAM: Parti Keadilan Rakyat (PKR) yakin kehadiran semula Anggota Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Parlimen mampu membantu mengangkat kembali negara menjadi 'Harimau Asia'. Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata kemenangan dengan majoriti besar Anwar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen itu pada 13 Oktober lepas, adalah bukti yang menunjukkan rakyat mahu terus memberi sokongan padu kepada Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara. "Walaupun masyarakat majmuk pelbagai agama dan budaya, mereka terus berikan sokongan padu (kepada Anwar dan PH) kerana masa depan negara terletak di tangan kita untuk pikul tugas dengan jujur dan bertanggungjawab. "Kehadiran Anwar (ke Parlimen) satu dorongan kepada saya dan pimpinan untuk bergerak secara kolektif dan membingkai muafakat untuk mengangkat balik Malaysia sebagai Harimau Asia," katanya dalam ucaptama di pentas Pidato Malaysia Baharu di sini, Khamis malam. Turut memberi ucaptama di pentas tersebut adalah Anwar selaku Ketua Umum PKR, serta Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dengan dihadiri hampir 500 anggota PKR Selangor Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, berkata kehadirannya ke Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas, terpaksa menempuh cabaran besar apabila 'kantung' negara kosong dan diburukkan dengan hutang yang mencecah RM1 trilion. Namun, katanya ia cabaran perlu ditangani, dan pimpinan PKR berikrar menggalas tugas dengan jujur serta amanah supaya dunia melihat bahawa parti berkenaan mampu mentadbir negara dan mengurus ekonomi dengan bertanggungjawab untuk menjadikan Malaysia sebuah negara lebih dihormati. Beliau yang juga Pengerusi PKR Selangor secara berseloroh turut menzahirkan rasa 'cemburunya' terhadap kerajaan negeri itu berikutan kejayaan pentadbiran negeri sehingga mampu berkongsi kekayaan dengan rakyat sedangkan pihaknya bertungkus lumus untuk mengurus kewangan negara. "Kehadiran Datuk Seri Anwar ke Selangor dapat beri semangat baharu, nasihat dan bimbingan kepada kerajaan negeri mempertahankan kecemerlangan ekonominya, seterusnya menyuburkan semangat antara negeri dan persekutuan. "Bagi pihak rakan-rakan dan anggota PKR, saya merakamkan penghargaan kepada Datuk Seri Anwar. Bantulah kami, bimbinglah kami, sayangi kami dan InsyaAllah perpaduan dan ukhwah kami dengan Datuk Seri Anwar tidak akan putus dulu, kini dan selamanya," kata Mohamed Azmin Sementara itu, Amirudin dalam ucaptamanya berkata Selangor turut menjadi asas penting perjuangan reformasi dalam memastikan kemenangan PH pada PRU14, 9 Mei lepas. "Ia merangkumi pentadbiran sejak 10 tahun lalu dan memasuki penggal ketiga ketika ini dengan pelbagai program serta inisiatif kepada rakyat. "Asas reformasi sudah dibuat sejak sekian lama dan terus kukuh sehingga kini walaupun Selangor pernah dianggap hanya kerajaan populis semata-semata sebelum ini," katanya.-- Bernama.