suria

"Jangan panggil saya Cikgu Surayalah!" - Cerpen lucah era 90-an buat guru bingung

PETALING JAYA: Gara-gara memiliki nama Suraya, seorang guru 'diserang' dengan gurauan melampau di laman sosial kerana dirinya disamakan dengan watak cerpen lucah popular era 90-an.

Bukan itu sahaja, Anis Suraya Mohamad Sukri yang menggelarkan dirinya sebagai Cikgu Suraya dalam satu posting di Twitter pada Ahad lalu turut menerima gambar lucah daripada lelaki tidak dikenali yang dihantar menerusi mesej peribadi di Twitternya.

Lebih teruk, anak kedua daripada enam beradik ini juga diserang seorang lelaki tidak bertanggungjawab kerana didakwa sengaja mencari publisiti dengan menggunakan nama Cikgu Suraya.

"Pada awalnya saya memuat naik gambar saya di Twitter dengan kapsyen '1 week left to become Cikgu Suraya' kerana saya ingin berkongsi perasaan gembira bakal bergelar guru dengan kawan-kawan saya.

"Tak sangka lepas tu saya dapat banyak notifikasi. Ramai lelaki yang tweet benda pelik-pelik, pasal Amir... basikal dan hujan. Saya jadi 'blur' dan jawab semua mesej tu elok-elok.

"Tiba-tiba ada satu hari tu saya dapat DM daripada seorang lelaki yang mesej saya dengan cara yang agak kasar. Macam-macam dia cakap kat saya... dia 'sound' saya kata saya jadi punca dia dikecam netizen," katanya kepada mStar Online.

Selepas pesanan mesej peribadinya tidak dijawab, Suraya mendakwa lelaki tersebut turut memburuk-burukkan dirinya di Twitter.

Posting Suraya yang tular pada Ahad lalu. 

"Dia suruh saya padam posting tersebut, kalau tak dia tak hormat saya sebagai cikgu. Saya sedihlah sebab saya tak post benda bukan-bukan hanya post gambar sahaja.

"Saya tak balas chat dia. Saya senyap dua hari. Saya tengok ada post dia buruk-burukkan saya. Dia macam nak viralkan saya sebab nama saya Cikgu Suraya.

"Saya anggap dia ni dah melampau. Sebab itulah saya buat semua mesej yang saya terima daripada dia dalam bentuk video," katanya.

Suraya berkata perbuatan tidak bertanggungjawab lelaki itu turut memberi kesan kepada dirinya.

"Saya migrain sebab hari pertama tu saya menangis semalaman memikirkan apa kesalahan saya. Saya sampai tertanya-tanya pada diri sendiri kenapalah nama aku Suraya.

"Saya dahlah tengah mengajar sekarang ni, sampai anak murid tanya Cikgu Suraya OK tak? Saya terbawa-bawa emosi, cakap kat anak murid jangan panggil saya Cikgu Surayalah.

"Panggil je saya Cikgu Yaya dan anak murid saya pun tertanya-tanya. Serius gurauan itu betul-betul buat saya trauma dan sedih. Saya sampai terpaksa tenangkan diri untuk kembali fokus mengajar," katanya.

Cikgu Suraya semasa mengajar anak muridnya. - foto ihsan Anis Suraya Mohamad Sukri.

Menurut Anis Suraya atau lebih mesra disapa Suraya, sebelum memuat naik posting tersebut dia tidak tahu menahu mengenai cerpen kontroversi itu.

"Sejujurnya saya tak pernah tahu dan tak pernah baca pun cerpen tersebut sehingga ada kawan yang beritahu saya mengenainya.

"Nama saya memang Suraya takkan saya nak letak nama lain, takkan saya nak letak Cikgu Sue. Keluarga saya pun panggil saya Suraya, nak buat macam manakan," katanya.

Dalam pada itu, Suraya turut menggesa lelaki tersebut supaya meminta maaf atas tindakan melampaunya tempoh hari.

"Sekurang-kurang minta maaf atas apa yang dia kata tu. Saya faham dia nak tegur tapi ada caranya.

"Saya sedia terima teguran tapi janganlah guna kata-kata kesat," katanya.

Selain mesej lucah, terdapat sebilangan netizen yang mempertahankan gadis itu kerana dia sendiri tidak tahu mengenai kewujudan cerpen Cikgu Suraya.

"Lelaki Melayu selalu mengecewakan saya. Mengapa anda melakukan jenaka lucah 'Cikgu Suraya' sedangan dia sendiri tidak tahu cerpen itu. Buat malu je," komen seorang pelayar Twitter sehingga diulang kicau lebih 1,500 kali.

Cikgu Suraya

Artikel Lain