suria

Zahid mengaku tidak bersalah atas 45 tuduhan libatkan RM114 juta

-fotoTHESTAR/FaihanGhani

KUALA LUMPUR: Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 45 pertuduhan pecah amanah, menerima rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM114,148,983.86.

Zahid, 65, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Azura Alwi selepas pertuduhan dibacakan satu persatu kepadanya.

Mahkamah membenarkan anggota Parlimen Bagan Datuk itu dibebaskan dengan ikat jamin RM2 juta dengan seorang penjamin dan memerintahkannya menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah memerintahkan Zahid membayar jaminan sebanyak RM1 juta hari ini manakala bakinya sebelum atau pada 26 Oktober dan menetapkan 14 Disember untuk sebutan semula kes.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan mengetuai barisan pendakwaan yang dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, Mohamad Mustafa P. Kunyalam, T. Deepa Nair dan Nadia Mohd Izhar.

Zahid, bekas timbalan perdana menteri itu diwakili 12 peguam diketuai Hisyam Teh Poh Teik dan dibantu antaranya Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Kitson Foong.

Zahid, pecah amanah, dakwa

Artikel Lain