suria

Tiga maut, 12 hilang dalam kejadian tanah runtuh di P.Pinang

Kawasan kejadian tanah runtuh yang menyebabkan tiga maut dan 12 lagi hilang.

GEORGETOWN: Sekurang-kurangnya tiga maut sementara 12 lagi hilang dalam kejadian tanah runtuh di Bukit Kukus, Paya Terubong di sini pada Jumaat.

Empat kontena yang digunakan pekerja di tapak pembinaan tersebut diselaputi dengan tanah dan seramai 10 pekerja dilaporkan tertimbus.

Menurut ahli exco negeri Phee Boon Poh, tiga orang terbunuh dalam kejadian itu.

Mayat mangsa pertama ditemui pada pukul 3.40 petang.

Seorang pekerja pembinaan Indonesia, yang hanya ingin dikenali sebagai Endo, 36, berkata tiga anggota keluarganya dari Sulawesi terperangkap.

"Tiga daripada mereka, berusia 30-an, berada di dalam dan saya dapat tahu bahawa salah seorang daripada mereka terperangkap dalam kontena itu.

"Saya berdoa untuk keselamatan mereka," katanya.

Salah seorang mangsa yang terselamat.

Operasi mencari dan menyelamat oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat masih dijalankan sementara mangsa yang terselamat dihantar ke hospital.

Hujan lebat turun di Pulau Pinang sejak Khamis dan keadaan di kawasan tanah runtuh tersebut sangat berlumpur.

Tanah runtuh itu berlaku di zon pembinaan jalan berkembar dari Bandar Baru Ayer Itam ke Bukit Jambul.

Khamis lalu, 14 rasuk konkrit berukuran 25 meter jatuh dari bahagian tinggi lebuh raya tersebut.

Bagaimanapun, tiada kecederaan yang dilaporkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Negeri Zairil Khir Johari sebelum ini menyifatkan projek itu sebagai 'sangat rumit'. - The Star

tanah runtuh

Artikel Lain