SIBU: Aktiviti pemburuan haiwan bertukar menjadi tragedi apabila seorang lelaki menembak mati sahabatnya yang disangka sebagai burung. Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Freddy Bian pada Selasa mengesahkan mangsa dikenali sebagai Edwin Gading, 26, dari Rumah Ngelambong, Sungai Sut. Insiden itu dikatakan berlaku pada pukul empat petang, Isnin sewaktu mangsa pergi berburu menaiki bot panjang bersama suspek yang berusia 30 tahun. "Setibanyan di Lubuk Nabau berdekatan Balleh, mereka berpisah haluan. "Suspek melihat bayang-bayang dan menyangka ia seekor burung sebelum melepaskan tembakan. "Namun, ia terkena pada mangsa," ujarnya. Suspek yang sedar mengenai kesilapannya itu terus kembali ke rumah panjang. "Suspek bersama ayahnya, kembali ke lokasi kejadian untuk membawa pulang mayat. Ia kemudiannya dihantar ke Hospital Kapit. "Suspek ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana kecuaian yang mengakibatkan kematian.