suria

Scammer tak peduli, duit zakat penuntut universiti nak beli 'laptop' terpakai pun dikebas

Mesej terakhir Muhammad Marhakim kepada scammer tersebut tidak berjaya dihantar.

PETALING JAYA: Hasrat seorang penuntut tahun satu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia untuk memiliki komputer riba terpakai bagi kegunaan pengajiannya punah apabila terpedaya dengan taktik licik 'scammer'.

Insiden yang menimpa Muhammad Marhakim Marzelan, 20, mendapat perhatian pelayar Twitter kerana tidak menyangka scammer terbabit tergamak menipu pelajar malang itu biarpun sudah dimaklumkan bahawa wang tersebut adalah daripada sumbangan zakat.

"Saya percaya abang tu sebab dia nampak sangat meyakinkan dan memahami keadaan saya sebagai seorang pelajar.

"Saya juga dah beritahu harap dia tidak menipu kerana saya guna duit zakat untuk membeli 'laptop' MacBook Pro itu," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.

Menurut pelajar Bacelor Teknologi Maklumat itu, scammer terbabit mengiklankan komputer riba keluaran tahun 2012 tersebut pada harga RM700 di sebuah laman jual beli popular, Jumaat lalu.

Iklan yang dimuat naik oleh scammer tersebut  pada Jumaat di sebuah laman jual beli popular.

Tertarik dengan tawaran rendah itu, Muhammad Marhakim yang beranggapan nilai tersebut berpadanan dengan tahun keluaran komputer tersebut bersetuju untuk membayar wang deposit kepada pengiklan berkenaan.

Namun, selepas tiga kali membuat transaksi, scammer terbabit langsung tidak membalas mesej yang dihantar oleh Muhammad Marhakim menerusi aplikasi WhatsApp.

"Saya syak dia guna nombor telefon pakai buang, kerana mesej yang saya hantar hanya bertanda satu 'tick'.

"Kalau dia sekat nombor saya, pasti gambar profilnya juga tidak lagi boleh dilihat.

"Saya turut meminta bantuan rakan untuk menghantar mesej kepada nombor tersebut, namun hasilnya sama," jelas anak sulung daripada enam beradik itu.

Sebahagian daripada perbualan antara Muhammad Marhakim dengan scammer tersebut.

Tambahnya, wang zakat tersebut diperolehi daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah yang sememangnya diperuntukkan untuk para pelajar tanpa mengira latar belakang keluarga.

Menurut pelajar yang berasal dari Kota Kuala Muda, Kedah itu lagi, dia bercadang untuk membuat laporan polis mengenai insiden itu dan melantik peguam untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas scammer tersebut.

"Kebetulan sepupu saya seorang peguam dan dia sudi bantu saya untuk dakwa scammer itu secara percuma.

"Saya buat macam ni supaya tiada mangsa lain yang terkena lagi pada masa akan datang," ujarnya sambil menasihati agar orang luar lebih berhati-hati ketika melakukan urusan jual beli atas talian.

scammer, macbook pro

Artikel Sebelum

Artikel Lain