suria

Tun M dah jauh ke hadapan, ahli Umno masih bodek pimpinan - Khir Toyo

Dr Mohamad Khir Toyo.

PETALING JAYA: Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo kecewa apabila gesaannya agar Umno menubuhkan sebuah parti baharu sebelum parti itu diharamkan tidak diendahkan.

Malah, Khir Toyo berkata sebaik sahaja mengeluarkan kenyataan Umno akan diharamkan ketika Perhimpunan Agung Umno (PAU) bulan lalu, beliau dihentam ahli Umno yang masih meneruskan sikap membodek pimpinan parti itu.

"Saya menulis Umno akan diharamkan semasa perhimpunan agung sedang berjalan dengan harapan isu ini dibincang dan diperincikan oleh pembahas dan perhimpunan membuat beberapa ketetapan jika berlaku pengharaman Umno.

"Malang sekali peluang itu diguna untuk menghentam saya dan meneruskan sikap membodek pimpinan dengan menyajikan cerita, indah khabar dari rupa," katanya dalam satu posting di Facebook pada Khamis.

Menurut Khir Toyo, sebagai insan yang pernah bekerja di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau menyifatkan bekas presiden Umno itu sering berfikir jauh ke hadapan.

"Saya amat menghormati beliau kerana dasar yang jelas, arahan yang mudah difahami, serta adanya pemantauan perlaksanaan membolehkan kita mengetahui kejayaan sesuatu dasar itu," katanya.

Jelas beliau, untuk tindakan Dr Mahathir, Umno mesti bertindak selangkah dihadapan daripada apa yang ada dalam fikiran Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu.

"Sepatutnya Umno telah melaksanakan tindakan lanjut jika Umno benar benar jadi pertubuhan haram. Tindakan yang boleh dibuat ialah dengan menubuhkan parti baru yang hasrat tujuan dan matlamatnya sama seperti Umno, sebagai transitioned party," katanya.

Perhimpunan Agung Umno berlangsung pada 28 hingga 30 September lalu. - fotoBERNAMA

"Semua ahli dan aset parti bolehlah diletakkan dibawah parti ini. Jika kerajaan PH benar benar mengharamkan Umno, biarlah mereka lakukannya, niat jahat mereka tidak akan berjaya untuk melihat ahli Umno berhijrah kepada parti mereka," katanya.

Khir Toyo berkata, selepas keadaan kembali reda, daya juang ahli Umno perlu dipertingkatkan untuk memenangi pilihan raya umum yang akan datang supaya Umno boleh dihidupkan kembali.

Namun katanya, keputusan tersebut tidak boleh diputuskan Majlis Tertinggi (MT) sahaja, sebaliknya memerlukan keputusan perwakilan Umno melalui mesyuarat khas yang sepatutnya diadakan semasa PAU bulan lalu.

"Jika tindakan terkehadapan ini di lakukan, ia akan melemahkan semangat PH untuk mengharamkan Umno kerana ia adalah tindakan politik yang sia sia malah dari sudut politiknya menguntungkan Umno.

"Kita harus mengambil manafaat dari tindakan kerajaan PH. Mengheret pemimpin Umno ke mahkamah ini sebagai kaedah membersihkan Umno dari imej yg sangat kurang baik dengan mengasosiasikan Umno dengan rasuah," katanya.

Tambahnya lagi, beliau difahamkan akan ada ramai lagi pemimpin Umno bakal didakwa di mahkamah dalam masa terdekat.

"Apa pun alasannya, PH pasti ada bukti kukuh untuk memastikan tindakan mereka betul dan mereka yang didakwa akan dipenjarakan.

"Bagi saya mereka tidak boleh melakukan kesilapan dalam pendakwaan ini, kerana mereka tidak mahu rakyat membuat kesimpulan bahawa apa yang mereka katakan sebelum ini pemimpin Umno rasuah adalah tuduhan dan fitnah semata," katanya.

Tegas Khir Toyo, Umno harus berani menerima kenyataan tersebut.

"Mereka yg telah didakwa perlu bijak dengan melakukan langkah political setback, sama ada bercuti atau menubuhkan satu jawatankuasa yang khas dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan reformasi politik dalam Umno," katanya.

Khir Toyo, Umno

Artikel Sebelum

Tiga kali rogol remaja 13 tahun

Artikel Lain