TANGKAK: Kerajaan mengakui perlu mengambil kira pelbagai pandangan sebelum memuktamadkan pemansuhan hukuman mati mandatori di negara ini. Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu akan dibawa kepada Peguam Negara sebelum ia dibentang di peringkat Parlimen. Tegasnya, kerajaan harus meneliti kesesuaian untuk melaksanakannya selain mengambil kira pandangan orang ramai yang bimbang sekiranya hukuman tersebut dihapuskan. “Kita sedang kumpul maklum balas pelbagai pihak. Malah, saya pun tahu yang sebahagian media turut buat kajian di mana keputusan ada yang setuju ada yang tidak. “Namun keputusan muktamad ini belum ditentukan,” katanya. Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh dan Adun Gambir berkata demikian pada sidang media selepas majlis ramah mesra di Dewan Serbaguna Bukit Gambir pada Sabtu. Hadir sama, isterinya, Puan Sri Norainee Abdul Rahman; Adun Serom, Dr Ir Faizul Amri Adnan; Adun Tangkak, Ee Chin Li dan Pengarah Media Bersatu Johor, Solihan Badri.Menurut Muhyiddin, sesi penjelasan juga dijangka akan diadakan sebelum satu keputusan berkaitan undang-undang itu dibentuk. “Walaupun negara lain sudah banyak menghapuskan (hukuman mati mandatori), tapi Malaysia belum memutuskannya. “Di Malaysia mungkin ada latar berlakang yang boleh kita tengok dan untuk lebih adil. Maklum balas menyeluruh akan diteliti supaya keputusan yang kita akan buat terutama pindaan dalam akta ini nanti adalah memenuhi kehendak negara," katanya.- Sinar Harian