suria

“Saya sepatutnya sudah meninggal dunia sekarang” - Tun M komen pelantikan kali kedua sebagai PM

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pelantikan kali kedua beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia memberikan kesan mendalam ketika beliau bergelut dengan segala-galanya, termasuk menyingkirkan China demi membayar hutang negara.

"Saya sepatutnya sudah meninggal dunia sekarang," selorohnya dalam satu temu bual bersama AFP pada Khamis.

Pemimpin negara itu merupakan seorang yang berfikiran tajam dan sering memberikan pandangan jujur terhadap isu-isu kontroversi, termasuk hak pasangan sejenis dan anti-Semitisme.

Namun, ia bukan satu jalan yang mudah bagi Dr Mahathir apabila kesihatan beliau semakin merosot sejak akhir-akhir ini.

Lebih-lebih lagi selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei lalu dan menggulingkan pentadbiran bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sejak itu, beberapa pemimpin kerajaan terdahulu ditahan kerana kesalahan rasuah dan dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Ia sangat memenatkan. Kali ini, saya perlu kerja lebih kuat daripada kali pertama menjadi perdana menteri dulu.

"... seluruh jentera kerajaan hampir musnah," kata beliau.

Tambah Dr Mahathir, beliau dan pasukannya sedang bergelut untuk mengisi lompong-lompong besar dalam pentadbiran negara.

"Saya perlu singkirkan orang lama di bawah pentadbiran kerajaan dulu yang terlibat secara politik dengan kerajaan," ujarnya pada sesi wawancara yang diadakan di sini. - AFP/The Star

Mahathir Mohamad

Artikel Lain