suria

“Banyak perkara lain untuk dibuat liputan” - Gobind tolak cadangan siar perbicaraan Najib

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo pada Khamis menolak cadangan supaya perbicaraan kes mahkamah melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak disiarkan secara langsung.

Beliau menegaskan perbicaraan itu tidak akan disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Menurutnya, kedua-dua entiti media itu mempunyai siaran yang terhad dengan pelbagai liputan berita dan program yang perlu disiarkan di saluran masing-masing.  

“RTM mempunyai saluran terhad, begitu juga Bernama. Kami mempunyai banyak perkara lain untuk dibuat liputan berita di negara ini," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen pada Khamis

Gobind Singh mengambil perhatian liputan berita kes mahkamah akan dilakukan seperti biasa oleh dua entiti berita itu sama sepertimana dengan kes mahkamah yang lain.

“Bagi pihak kami, berita (tentang perbicaraan itu) akan dibuat liputan sepertimana yang sentiasa dilakukan dengan kes-kes mahkamah yang lain,” katanya.

Gobind Singh mengulas laporan berhubung cadangan untuk menyiarkan secara langsung kes perbicaraan bekas perdana menteri itu. - Bernama

Gobind Singh, Najib Razak

Artikel Lain