suria

Remaja 19 tahun dikhuatiri lemas di Pantai Senok, bapa dan rakan berjaya diselamatkan

Gambar hiasan.

BACHOK: Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bachok meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dikhuatiri lemas ketika sedang menjala ikan di kuala Pantai Senok di sini, Rabu.

Ketua BBP Bachok Penolong Penguasa Bomba Yus Heary Mahmud berkata pihaknya memulakan operasi tersebut sejak pukul 8 malam Rabu dan akan menghentikannya selepas mangsa ditemui.

"Kita masih membuat gerakan mencari Aizat Safuan Ismail, 19, yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam laut dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam semalam,” katanya ketika ditemui di sini, Khamis.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam Rabu, Aizat Safuan bersama bapanya Ismail Harun, 45, dan rakannya, Nazizul Mubin Rosli, 15, sedang menjala di muka kuala pantai berkenaan sebelum mangsa terjatuh ke dalam laut.

Ismail dan Nazizul kemudiannya cuba menyelamatkan Aizat Safuan dan turut lemas namun berjaya diselamatkan oleh penduduk yang melihat kejadian tersebut sebelum kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk mendapatkan rawatan.

Lapan anggota Bomba dan Penyelamat Bachok melancarkan gerakan mencari selepas menerima laporan pukul 8.06 sehingga lewat malam termasuk di persisiran pantai berkenaan.

“Pagi ini kita sedang berusaha untuk mendapatkan bantuan daripada pihak-pihak yang berkaitan bagi meneruskan gerakan mencari di sepanjang pantai itu,” kata Yus Heary Mahmud. --BERNAMA

Artikel Lain